20 gajah liar ada dalam dua hutan simpan kekal
KUALA KRAI - Lebih 20 ekor populasi gajah liar dianggarkan berada di kawasan hutan simpan kekal (HSK) Jentiang dan HSK Ulu Temiang dekat sini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, kedua-dua lokasi HSK itu berhampiran dengan kawasan kebun penduduk di Kampung Kuantan, Pahi.
“Pihak jabatan ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang.
“Bagi mengurangkan konflik gajah, penduduk khususnya pekebun dinasihatkan mengambil langkah-langkah mitigasi seperti menyalakan unggun api atau lampu diod pemancar cahaya berwarna biru di lokasi yang dikenal pasti menjadi laluan gajah ke kebun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pada Sabtu lalu, jabatan itu menerima aduan gangguan gajah di kawasan terbabit dan 10 kakitangan Perhilitan daerah Kuala Krai serta Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan.
“Seekor gajah liar jantan dapat ditangkap pada Isnin lalu di Kampung Merbau Bekok di daerah sama.
“Tangkapan ini melegakan penduduk seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat gajah,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat dijalankan pada Rabu dengan bantuan dua gajah denak iaitu Abot dan Sanum serta 12 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
“Kebun perlu sentiasa dibersihkan supaya tidak bersemak samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.
“Langkah efektif SPEG yang mengikut spesifikasi atau binaan parit besar dapat menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!