Pemberian subsidi elektrik kepada pengguna T20 perlu dikaji
KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyifatkan pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dikaji semula pada masa depan.
Beliau berkata, golongan T20 wajar membayar kadar tarif yang lebih kompetitif.
Justeru menurutnya, subsidi bersasar dalam tarif elektrik perlu dilaksanakan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.
"Kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk menetapkan tarif harga elektrik. Kita masih kekalkan kadar yang sama bagi pengguna-pengguna domestik walaupun T20.
"Itu perkara yang bagi saya, perlu difikirkan semula pada masa depan kerana apabila bercakap tentang T20, mereka bergaji besar, sepatutnya bayar tarif yang lebih kompetitif
"Tapi untuk M40, B40 saya setuju kita perlu lindungi mereka," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Pada masa sama, tambah Nik Nazmi, negara tidak boleh meneruskan subsidi untuk korporat.
"Ekonomi kita, korporat mendapat keuntungan yang lebih besar berbanding kadar gaji dan sebagainya dan antara faktor ialah subsidi korporat yang kita berikan.
"Kita kena beralih kepada subsidi secara bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!