Kerajaan perlu bantu pekerja Citibank ditamatkan tanpa pampasan

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan supaya campur tangan dalam membantu pekerja-pekerja yang ditamatkan perkhidmatan di Citibank tanpa sebarang pampasan pemberhentian atau bayaran penghargaan daripada hasil jualan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, ia berikutan Citibank yang telah beroperasi di negara ini selama 63 tahun itu telah memutuskan untuk menjual perniagaan perbankan penggunanya demi memperoleh pulangan tunai yang besar.

“Semua perniagaan mempunyai kewajipan moral dan etika serta harus menghormati hak asasi manusia kerana mereka tidak sepatutnya melanggar hak asasi manusia pekerja-pekerja mereka.

“Di Korea Selatan, dalam keadaan yang sama, bank pusat campur tangan dan Citibank membayar tujuh tahun gaji sebagai pampasan untuk penamatan pekerjaan setiap pekerja yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Solomon, kerajaan perlu membuat perubahan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) atas semangat ketelusan dan tadbir urus yang baik seperti yang dijanjikan oleh pemerintahan baharu.

Menurutnya, BNM didakwa mempunyai sejarah dalam memudahkan skandal, sedangkan ia harus campur tangan untuk mengelakkannya daripada berlaku.

“Malaysia kini terkenal di peringkat global dengan skandal kewangan yang melibatkan dana awam. Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan 1Malaysia Development Bhd (IMDB) adalah contoh.

“NUBE merayu kepada BNM untuk campur tangan dalam perkara ini. Rayuan seperti itu tidak diendahkan kerana BNM jelas tidak berminat untuk melihat kepentingan golongan pekerja bergaji paling rendah di negara ini.

“BNM bertindak sebagai pembantu kelas perniagaan dan bukan sahaja perniagaan besar tempatan tetapi juga perniagaan asing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Solomon berkata, BNM telah gagal dengan ketara dalam mengutamakan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat kerana telah menyerahkan jiwanya kepada kepentingan perniagaan besar dan khususnya pelabur asing.

“Jenis pelabur asing yang BNM bersekongkol adalah pelabur spekulatif yang ingin mengeksploitasi sumber Malaysia, termasuk pekerja Malaysia.

“Ini adalah bentuk rasuah yang paling teruk, di mana ada pegawai awam menjual rakyat biasa di Malaysia,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!