[VIDEO] 'Kejayaan selamatkan lima mangsa masih hidup paling bermakna'
SEPANG - Seramai 65 anggota penyelamat Malaysia yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di wilayah Gaziantep, Turkiye kembali ke tanah air pada Khamis.
Kumpulan pertama seramai 30 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira jam 12.23 tengah hari, manakala kumpulan kedua seramai 35 orang lagi pada kira-kira 5 petang pada Khamis.
Bercakap kepada pemberita ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama itu di KLIA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara keseluruhan, penugasan pasukan SAR Malaysia berjalan lancar sepanjang operasi.
"Kejayaan dapat menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup, merupakan tugasan paling bermakna buat anggota penyelamat Malaysia yang terlibat dalam misi SAR,” katanya serta menambah misi SAR itu turut mengeluarkan 47 mangsa yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan.
Seramai 140 anggota penyelamat serta dua anjing K9 terlibat dalam misi SAR di Turkiye.
Armizan berkata, antara cabaran yang dilalui pasukan SAR Malaysia ialah cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan, serta bahasa untuk berkomunikasi.
Sepanjang operasi, katanya, sembilan anggota pasukan penyelamat negara mengalami masalah kesihatan seperti demam, kecederaan bahu dan lutut, dan bagimanapun kesemuanya telah pulih setelah mendapat rawatan.
Beliau berkata, sebelum pulang ke Malaysia, semua anggota yang terlibat perlu melalui proses demobilisasi iaitu penamatan penugasan secara berperingkat, dan kemudiannya dikehendaki menjalani rehabilitasi di Istanbul selama sehari, yang melibatkan pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang.
Armizan berkata, kerajaan amat menghargai segala pengorbanan dan khidmat bakti semua anggota yang terlibat, dan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Februari lepas di Parlimen, kerajaan akan memberikan insentif khas kepada para petugas dalam bentuk pingat penghargaan dan elaun khas.
Anwar telah mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, termasuk sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terlibat.
Ditanya bila anggota penyelamat yang masih di Turkiye akan dibawa pulang, Armizan berkata, kerajaan berusaha membawa mereka pulang secepat mungkin.
"Kita cuba mengatur dalam masa terdekat, sebab hari itu ada permintaan daripada Presiden Turkiye (Reccep Tayyip Erdogan), untuk dipanjangkan sedikit tempoh untuk membantu dalam proses-proses pemasangan khemah-khemah sementara untuk mangsa-mangsa terlibat. Difahamkan operasi tersebut telah hampir selesai dan dalam minggu ini kita usahakan mereka dapat kembali,” katanya.
Mengenai Hospital Medan Malaysia (HMM) yang beroperasi di Celikhan, Aditaman, Armizan berkata operasi hospital itu masih diteruskan.
"Setakat ini HMM masih diteruskan, yang kita bawa balik ini pasukan SAR kerana tugas telah berakhir mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat antarabangsa, fungsi mereka dalam tempoh 14 hari untuk mencari dan menyelamat telah berakhir.
"Bantuan kemanusiaan termasuk HMM buat masa ini diteruskan, termasuklah sekiranya kerajaan Turkiye memerlukan bantuan-bantuan lain,” katanya.
Sejak dibuka pada 14 Februari, HMM yang terletak kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep telah merawat seramai 164 pesakit setakat 18 Februari.
Rawatan yang disediakan di HMM mencakupi rawatan pesakit luar, ibu mengandung dan ginekologi, kanak-kanak, pembedahan am, ortopedik dan pergigian. - Bernama
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!