Peristiwa Bukit Kepong: Pura-pura mati kaburi mata komunis

Waris kepada anggota polis yang terkorban dan insiden serangan Balai Polis Bukit Kepong, Fatin Amalina Abd Wahab (duduk, dua dari kiri) bersama ibunya, Jamilah Abu Bakar, (duduk, dua dari kanan) ketika ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong dekat sini.
Waris kepada anggota polis yang terkorban dan insiden serangan Balai Polis Bukit Kepong, Fatin Amalina Abd Wahab (duduk, dua dari kiri) bersama ibunya, Jamilah Abu Bakar, (duduk, dua dari kanan) ketika ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong dekat sini.
A
A
A

MUAR - Waris wira yang terkorban dalam serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong di sini mengharapkan agar peristiwa ‘berdarah’ itu dikenang setiap masa dan bukan ‘bermusim’ sahaja.

Fatin Amalina Abd Wahab, 29, yang merupakan cucu kepada seorang daripada anggota polis yang terkorban, berkata, meskipun datuknya ‘gugur’ dalam serang hendap itu namun semangat juang yang tinggi anggota keselamatan ketika itu disifatkan sebagai satu kemenangan dari segi mental.

Dia yang merupakan cucu kepada Allahyarham Konstabel Polis (PC) Abu Bakar Daud berkata, kebiasaannya orang ramai akan mula mengambil kisah mengenainya hanya menjelang tarikh penting tertentu seperti Memperingati Tragedi Bukit Kepong pada setiap 23 Februari.

"Perkara ini menjadi kebimbangan setelah kita lihat generasi kini semakin ‘kabur’ dan hilang penghayatan sejarah, malah kadangkala tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka dan apa kaitannya dengan sejarah.

"Sejarah adalah fakta bukan hanya sekadar suatu penceritaan umum, sebaliknya berasaskan pelbagai bukti, kajian dan penyelidikan dan bukannya ‘hero’ yang diwujudkan dalam filem-filem fiksyen yang digemari generasi kini,” katanya ketika ditemui di Majlis Tahlil Dan Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Bukit Kepong di Muar di sini pada Khamis.

Tambah Fatin Amalina, dia berpendapat masyarakat kini seharusnya perlu mengambil tahu serta pandai mengolah dalam penceritaan agar mampu menarik minat generasi muda terhadap pengorbanan pasukan keselamatan.

"Peristiwa Bukit Kepong adalah antara contoh penting dalam sejarah negara (tentang) betapa tingginya pengorbanan anggota polis dan ahli keluarga mereka dalam menghadapi ancaman komunis.

"Ibu saya, Jamilah Abu Bakar yang merupakan saksi hidup kejadian itu selalu menceritakan keadaan balai polis itu ketika diserang komunis semasa umurnya enam tahun,” katanya.

Jamilah, 79, yang antara 10 saksi hidup kejadian itu, berjaya mengaburi mata komunis apabila menyamar seolah-olah sudah mati ketika ditembak musuh pada kejadian itu.

Beliau yang kini sudah berkerusi roda, menjadi satu-satunya mangsa peristiwa berdarah itu, yang masih hidup sehingga sekarang.

Sementara Itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, pihaknya amat menghargai jasa anggota polis serta penduduk sekitar yang terkorban dalam usaha melawan pengganas komunis ketika Itu.

"Saya berharap pengorbanan mereka dalam tragedi itu tidak sia-sia dan tidak dilupakan generasi kini sekali gus dijadikan pembakar semangat untuk dicontohi," katanya ketika berucap mewakili Ketua Polis Johor pada majlis itu.

Dalam tragedi yang berlaku pada jam 2.30 pagi, 23 Februari 1950 itu, segerombolan pengganas komunis telah menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 anggota polis termasuk ahli keluarga mereka dan orang awam.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!