Permulaan untuk Sinar Harian sokong, bantu usahawan bangkit

Farah menyampaikan ucapan dalam Anugerah BISA di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam. -Foto Sinar Harian
Farah menyampaikan ucapan dalam Anugerah BISA di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam. -Foto Sinar Harian
A
A
A

KEMUNCAK Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang berlangsung dengan meriah merupakan satu permulaan bagi Sinar Harian menyokong dan membantu usahawan-usahawan di Malaysia untuk terus bangkit berdiri serta berkembang maju.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, berbeza dengan anugerah lain yang biasa dianjurkan untuk perniagaan dan ekonomi, BISA bukan sekadar pentas menyampaikan anugerah semata-mata.

Beliau sebaliknya berkata, BISA direka khas untuk mengiktiraf usahawan-usahawan tempatan di Malaysia terutama pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Unik dan istimewanya BISA, ia bukan sekadar menghargai pemilik bisnes, malah kita turut mengangkat pelbagai agensi yang berada dalam ekosistem perniagaan.

“Kita mahu rakyat mengetahui bahawa dalam kejayaan seseorang usahawan, ada organisasi lain yang mungkin turut memainkan peranan, baik agensi-agensi kerajaan, perbankan, syarikat telekomunikasi, pasar raya besar dan platform beli-belah dalam talian,” katanya semasa berucap dalam Anugerah BISA di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City di sini pada Khamis.

Majlis anugerah berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Farah berkata, penerima anugerah terpilih akan menjadi inspirasi kepada peniaga baharu terutama generasi muda yang kini semakin berkembang apabila ramai mahu menceburi bidang perniagaan.

Selain itu, ujar beliau, dengan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai kementerian serta agensi kerajaan lain, Sinar Harian akan memainkan peranan sebagai jambatan penghubung komuniti bisnes di Malaysia.

“Lebih banyak pertukaran idea, masterclass, bengkel dan kerjasama dapat kita lakukan bersama untuk meneroka segala kemungkinan dalam era digitalisasi teknologi hari ini.

“Apa yang pasti, dalam usaha menjadi penghubung komuniti bisnes, Sinar Harian juga berharap kita dapat bersama-sama menyebar luas dan menerapkan mengenai kepentingan integriti dan kejujuran dalam perniagaan,” katanya.

Tambah Farah, bisnes bukan sekadar keuntungan, kerugian, pendapatan dan perolehan semata-mata, sebaliknya dengan penerapan nilai murni seperti integriti, disiplin serta kejujuran, seseorang usahawan pasti akan kekal lama dalam perniagaan diceburinya.

“BISA akan turut menghargai dan mengangkat tokoh perniagaan yang mencipta model bisnes serta ekonomi dengan nilai murni ini untuk menjadi inspirasi kita,” kata beliau.

Salahuddin (lima dari kanan) diiringi Farah (tiga dari kiri) bersama barisan tetamu kehormat pada Majlis Anugerah BISA di Hotel Double Tree by Hilton, Shah Alam. -Foto Sinar Harian
Salahuddin (lima dari kanan) diiringi Farah (tiga dari kiri) bersama barisan tetamu kehormat pada Majlis Anugerah BISA di Hotel Double Tree by Hilton, Shah Alam. -Foto Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!