MOM menanti khabar gembira Belanjawan 2023
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menanti khabar gembira menjelang pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Nazifuddin Najib berharap kerajaan memperuntukan bajet khas Gold to Paris sebagai persiapan terbaik dalam misi negara memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik di Paris tahun depan.
Beliau berkata, sasaran itu bukan sahaja diimpikan oleh MOM, para atlet dan rakyat Malaysia, malah turut menjadi hasrat pucuk pimpinan tertinggi negara.
“Harap bajet untuk sukan tidak dipotong, malah MOM berharap ada peruntukan khusus bagi program Gold to Paris.
“Kita ada berbincang dengan YB (Yang Berhormat) Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan).
“Perdana Menteri sendiri ada menyebut mengenai cabaran untuk kita memenangi emas. Moga harapan untuk ada bajet khas sebagai persediaan ke Paris dipertimbangkan dalam belanjawan kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Beliau berkata, bagi program sebelum ini termasuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, tiada bajet khususnya, sebaliknya diperuntukkan untuk sektor sukan secara keseluruhan.
“Peruntukan itu lazimnya untuk persiapan ke temasya-temasya sukan, program pembangunan dan pelbagai aktiviti sukan yang lain. Kali ini kita berharap ada bajet khas untuk program emas Olimpik,” katanya.
Nazifuddin juga berharap peruntukan bagi meningkatkan dan menaik taraf fasiliti sukan secara menyeluruh di seluruh pelosok negara.
“Ia untuk memberi kemudahan selesa kepada komuniti dan rakyat di peringkat akar umbi, selain mampu memupuk minat ramai terutama anak muda agar lebih aktif dalam kegiatan sukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!