Sabah lebih terjejas fenomena El Nino sehingga Mei ini

No Image Caption
A
A
A
KOTA KINABALU - Sabah dijangka lebih terjejas oleh fenomena El Nino yang diramalkan berlaku sehingga Mei depan kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata purata hujan yang turun juga turut berkurangan berbanding pada tahun lalu.

"Oleh itu, sama-samalah kita mencegah aktiviti pembakaran terbuka untuk mengurangkan pelepasan asap ke udara yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan kualiti udara yang kita hirup tetapi juga akan merebak ke kawasan lain," katanya.

Beliau berucap sempena majlis sambutan Hari Bumi 2019 yang bertemakan "Lindungi spesies kita" di Taman Awam Teluk Likas, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berharap konsep 'zero burning' seperti di ladang kelapa sawit juga akan dapat dipraktikkan oleh semua petani dan peladang di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Dr Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata setakat ini tiada individu di Sabah yang dikenakan tindakan akibat pembakaran terbuka.

Beliau berkata JAS mempunyai pelan tindakan pembakaran terbuka dianggotai semua agensi berkaitan kawalan pembakaran terbuka.

"Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Meteorologi, Bomba dan Pejabat Tanah," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!