Jakim laksana polisi 30 peratus tulisan jawi dalam penerbitan

Mohd Na`im ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Na`im ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan polisi 30 peratus penggunaan tulisan Jawi dalam bahan promosi dan penerbitannya sebagai langkah memartabatkan semula tulisan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, jabatan itu juga mempunyai pegawai yang dilantik sebagai Munsyi Jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membantu penggunaan tulisan Jawi yang tepat bagi urusan rasmi.

Menjawab celahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan akan meneliti semula ejaan Jawi kini berbanding edisi Za'ba agar ia bersesuaian dengan maksud asal, Mohd Nai'im berkata Jakim akan menyemak semula perkara itu.

"... dan kita mengharapkan daripada semakan itu, kita akan memperbaiki dan melihat kepada Jawi yang boleh diterima supaya makna sebenar tidak akan lari," katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 30 institusi tahfiz melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini.

Katanya, program itu boleh diperluas kepada Sekolah Agama Rakyat lain dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, kolej komuniti GiatMARA dan beberapa agensi berkaitan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!