Pemenang perlu jadi contoh kepada usahawan lain
PEMENANG Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) perlu menjadi contoh atau pemangkin kepada rakan usahawan lain.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia supaya setiap usahawan dapat memajukan perniagaan masing-masing.
“Kita mungkin bermula dengan kecil, lama-kelamaan akan menjadi besar dan gagah di persada bisnes ataupun perniagaan dalam negara.
“Dan seterusnya juga mampu menerjah ke dunia antarabangsa,” beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian pada Majlis Penganugerahan BISA di sini pada Khamis.
BISA memberi pengiktirafan kepada golongan usahawan dan syarikat yang telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi negara.
Penganugerahan BISA merangkumi pelbagai sektor perniagaan seperti perkhidmatan, peruncitan, kepenggunaan, pendidikan, teknologi, kreativiti, inovasi produk dan banyak lagi.
“Kita mungkin bermula dengan kecil, lama-kelamaan akan menjadi besar dan gagah di persada bisnes ataupun perniagaan dalam negara."
Salahuddin berkata, Malaysia perlu mencontohi Jepun dan Korea Selatan yang mengamalkan konsep Saemaul Undong.
“Ia satu pendekatan ekonomi yang persis seperti Dasar Ekonomi Baru. Satu masa dahulu, Malaysia berada pada garisan yang sama dengan Jepun dan Korea Selatan.
“Apabila konsep itu yang bermula dengan usahawan kecil, terapi kemudian menjadi besar dan hari ini Korea dan Jepun menjual jenama produk mereka ke persada antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, meskipun Malaysia agak ketinggalan dibandingkan dengan dua negara tersebut, namun ia bukan alasan untuk tidak boleh maju ke hadapan.
“Kita ada anak-anak Malaysia yang ada di merata tempat. Ada pakar teknologi maklumat di benua Eropah. Saya juga difahamkan seorang anak Malaysia dibela, dijaga oleh kerajaan Jepun kerana kemahirannya dalam bidang teknologi.
“Anak Malaysia yang begitu mahir dengan minyak dan gas, bukan sekadar di Petronas, tetapi syarikat antarabangsa seperti Shell juga menghargai bagaimana anak-anak Malaysia mempunyai bakat yang sama taraf malah lebih baik untuk bersaing di peringkat antarabangsa” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!