Pemancing dikhuatiri lemas, sampan dilanggar bot pukat tunda

Pencarian digerakkan anggota Maritim Malaysia Selangor di kawasan perairan Sementa, Kapar pada Khamis. (Gambar kecil : Raiman Suyud.)
Pencarian digerakkan anggota Maritim Malaysia Selangor di kawasan perairan Sementa, Kapar pada Khamis. (Gambar kecil : Raiman Suyud.)
A
A
A

KLANG - Seorang pemancing dikhuatiri lemas selepas sampan dinaikinya pecah akibat dilanggar sebuah bot tunda di perairan Sementa, Kapar di sini pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika mangsa dikenali sebagai Raiman Suyud, 54, memancing bersama rakannya.

"Ketika kejadian, bot pukat tunda yang dipercayai tidak mempunyai lampu navigasi melanggar sampan dinaiki mereka sehingga pecah.

"Mangsa dipercayai gagal berenang akibat kekejangan dan dikhuatiri hanyut manakala seorang rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, operasi digerakkan dengan pengaktifan Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru kira-kira jam 11.20 pagi.

"Sebuah bot Perkasa 36 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pencarian mangsa meliputi radius 10 batu nautika persegi di sekitar perairan Sementa selain pangkalan hadapan carilamat turut ditubuhkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar.

"Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan ekoran faktor penglihatan yang terhad kira-kira jam 7 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!