PRN: Mudah orang politik atur jadual - Ahmad Maslan
SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan kesepakatan enam negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan sebagai 'berita baik' untuk semua parti politik.
Jelas Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan, dengan adanya penetapan masa itu secara tidak langsung mengelakkan pemimpin untuk sentiasa berpolitik.
"Akhirnya enam negeri sepakat bubar DUN akhir Jun 2023.
"Eloklah begitu. Mudah untuk orang politik mengatur jadual, tidaklah kami berpolitik setiap masa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, enam negeri sepakat membubarkan DUN pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kata sepakat itu dicapai menerusi mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit pada Rabu.
Sementara itu, Ahmad dalam masa sama turut 'menyindir' pihak tertentu yang sebelum ini tidak bersetuju dengan keputusan untuk membubarkan DUN kerana bimbang berlakunya banjir.
"Sebelum ini mereka tak bubar sebab khuatir banjir. Tapi tak ada pun banjir 19 November (lalu) itu. BN sebut ketika itu dijangka banjir bulan Disember (lalu)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!