Berdebar menanti belanjawan Madani Anwar
KIRA-KIRA jam 4 petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2023 yang baharu menggantikan isi kandungan pembentangan pada tahun lalu. Ia berikutan perubahan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sejak awal Februari, Sinar Harian menyiarkan pelbagai pandangan dan permintaan rakyat yang inginkan isi kandungan Belanjawan 2023 menyebelahi mereka dengan pelbagai kemudahan, bantuan serta subsidi.
Seorang penganalisis ekonomi berpendapat, Anwar dijangka memberi tumpuan menjana ekonomi domestik sebagai penambahbaikan Belanjawan 2023 berbanding bajet sama dibentangkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Katanya, penjanaan ekonomi domestik itu bakal menjadi enjin kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Langkah itu selari dengan penurunan prestasi ekonomi global yang dijangka meleset tahun ini. Senada dengan itu, golongan usahawan belia desa sektor pertanian dan penternakan berharap lebih banyak bantuan serta inisiatif program dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.
Kata mereka, kenaikan harga barangan mampu dihadapi jika diberi input bagi membantu mengeluarkan produk pertanian dan penternakan bermutu.
Mengenai kadar upah pekerja, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebagai penyelesaian masalah peningkatan kos sara hidup.
Pengerusinya, Datuk Adnan Mat berkata, kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup adalah dengan kaedah meningkatkan kadar gaji dan upah pekerja.
Ada berpendapat selepas peruntukan perbelanjaan mengurus, kerajaan perlu fokus kepada sektor pendidikan melibatkan penyelesaian beberapa isu kritikan seperti prasarana dan fasiliti sekolah.
Melihat kembali pembentangan Bajet 2023 di bawah Ismail Sabri, ramai mengatakan ia adalah batu loncatan atau pemangkin kepada manifesto Barisan Nasional untuk PRU15.
Akui Ismail Sabri, ia mengambil kira belanjawan berpijak di bumi nyata, dengan inti pati bajet terbesar pernah disediakan – peruntukan RM372.3 bilion yang mencakupi semua pihak.
Bagaimanapun, di bawah Kerajaan Perpaduan, pastinya rakyat Malaysia ternanti-nanti isi kandungan Belanjawan 2023 kali ini sama ada memihak kepada mereka atau tidak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!