Tak sempat nikah, bakal pengantin terkorban gempa bumi Turkiye
REYHANLI, TURKIYE - Pada tarikh 11 Februari, Muna Tayyar, 17 dan pasangannya, Ali Darwish, 25, sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan di rumah mereka di Antakya di wilayah Hatay, selatan negara ini
Segala persiapan telah diatur dua pasangan muda ini, termasuklah makanan dan jemputan melibatkan keluarga terdekat serta rakan-rakan.
Namun segalanya musnah selepas Muna terkorban dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter yang menggegar Turkiye pada 6 Februari lalu.
Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adıyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.
"Jodoh mereka tidak kesampaian. Muna terkorban dalam runtuhan kediaman kami," kata ibu Muna, Sobah Tayyar, 45, kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah saudara mereka di bandar ini.
Biarpun sudah 19 hari peristiwa itu berlaku, Sobah masih mengingati dengan jelas saat anak sulungnya itu dijemput Illahi.
Cerita Sobah, sewaktu sedang menyediakan adunan roti buat juadah sarapan di rumah mereka yang dibina di atas bumbung, bangunan setinggi tiga tingkat, berlaku gegaran kuat sehingga menyebabkan dirinya terjatuh ke ruangan tangga.
Dalam suasana yang kelam kabut, suami Fevas Tayyar, 45 dan anak, Muhammad, 15, serta Omar, 10, bergegas membantunya dan terus menyelamatkan diri.
Bagaimanapun ketika menuruni tangga Sobah berkata, mereka terjatuh selepas lantai bangunan itu runtuh.
"Muna yang ketika itu masih di dalam rumah tidak sempat untuk berbuat apa-apa dan terperangkap di dalam runtuhan selama empat jam.
"Sewaktu diselamatkan, Muna masih bernyawa tetapi ketika di dalam dakapan saya, dia muntah darah dan terus menghembuskan nafas terakhir.
"Pada mulanya saya tidak percaya dia telah tiada dan sedaya upaya memanggil namanya untuk bangun," ceritanya sambil berlinangan air mata.
Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 43,556 nyawa.
Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.
Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).
Turkiye juga menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka telah berlindung di wilayah bencana.
Sobah menambah, kejadian itu juga menyebabkan kaki kanan suaminya retak dan anak bongsunya mengalami luka teruk pada kaki kiri.
"Anak saya mendapat kecederaan ketika diselamatkan. Orang ramai terpaksa menarik kakinya yang tersepit sehingga menyebabkan daging pada pahanya terkoyak," katanya.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!