Kerajaan bakal berdepan persepsi tidak serius hapus rasuah
SHAH ALAM - Kerajaan akan berdepan dengan persepsi tidak fokus dan serius dalam menangani isu rasuah sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan perhatian serius terhadap tuntutan Pasukan Rasuah Busters.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, rakyat juga mungkin melihat Kerajaan Perpaduan lebih kepada bermain politik untuk menangani musuh-musuh mereka selama ini.
“Tuntutan yang diutarakan itu sebenarnya perlu diuruskan dan dilaksanakan secara berhemah dan berhati-hati, terutama sekali apabila kita lihat dalam konteks persaingan kepartian pada hari ini antara kerajaan dan pembangkang.
“Saya fikir, jika diuruskan dengan baik, ia akan memberikan jaminan secara tidak langsung kepada kerajaan bahawa mereka benar-benar memberi komitmen dalam usaha menangani rasuah.
“Walau apa jua cara sekali pun yang dilakukan kerajaan untuk melaksanakan dan memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut, saya fikir akan ada tindak balas daripada pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Ariff, antara perkara yang paling kritikal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang adalah isu pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
“Konsep ini memang sudah lama dilaksanakan di beberapa negara barat. Memang tiada masalah untuk kita laksanakan kerana ia akan memberikan gambaran bahawa tiada campur tangan politik.
“Sekarang ini, memang terdapat beberapa isu, contohnya anggapan seolah-olah ada campur tangan dalam badan kehakiman.
“Tapi ia sebenarnya hanya persepsi, jadi kalau boleh perlu dilaksanakan kepada bentuk yang lebih praktikal dan kukuh supaya dilihat orang ramai memang benar wujudnya pengasingan kuasa,” jelas beliau.
Pada Rabu, Pasukan Rasuah Busters telah mengemukakan enam tuntutan kepada kerajaan untuk menggesa reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.
Enam tuntutan berkenaan adalah pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, keperluan akta pendanaan politik dan transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan Anti rasuah Nasional berserta reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!