Aksi pertama Perak FC lebih 'cerah'

Khairul Anuar (tiga dari kiri) bersama pegawai Perak FC dan Malaysia Super League (MSL) memeriksa tahap kecerahan Stadium Perak di Ipoh pada malam Khamis.
Khairul Anuar (tiga dari kiri) bersama pegawai Perak FC dan Malaysia Super League (MSL) memeriksa tahap kecerahan Stadium Perak di Ipoh pada malam Khamis.
A
A
A

MENJELANG aksi pertama Liga Super Malaysia di antara Perak FC dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu ini, lampu limpah di Stadium Perak di Ipoh siap dibaiki oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Situasi itu sekali gus melegakan pihak pengurusan dan penyokong apabila perlawanan berkenaan kekal berlangsung pada sebelah malam.

Pengarah Kanan Teknikal MBI, Khairul Anuar Lodin berkata, kerja-kerja pembaikan lampu limpah berkenaan dilakukan pada 17 hingga 22 Februari selepas insiden kabel lampu dipotong dan dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita sedia maklum pada 25 Februari ini perlawanan pertama di antara Perak FC dan KDA FC. Jadi untuk memastikan ia dapat dilangsungkan, kerja-kerja pembaikan telah segera kita laksanakan sebagai mana komitmen yang diberikan oleh Datuk Bandar Ipoh kepada Perak FC.

"Kita telah menyemak seluruh kawasan di dalam stadium ini, keperluan bagi pemasangan lampu lux adalah sebanyak 1,200 lux telah dicapai malah sebahagiannya lebih daripada itu," katanya pada sidang akhbar di Stadium Perak di Ipoh pada malam Khamis.

Khairul Anuar berkata, pihak pengurusan Stadium Perak mengesahkan bahawa pencahayaan lampu limpah di stadium berkenaan sesuai digunakan untuk perlawanan pada Sabtu nanti.

Khairul Anuar (kanan) ketika sidang akhbar di Stadium Perak di Ipoh pada malam Khamis.
Khairul Anuar (kanan) ketika sidang akhbar di Stadium Perak di Ipoh pada malam Khamis.

Sementara itu, dalam memastikan kejadian kecurian tidak berulang, beliau memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan lebih ketat dibuat menerusi rondaan pegawai keselamatan di stadium berkenaan.

Sinar Harian melaporkan MBI mengalami kerugian lebih RM135,000 selepas bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk, Selasa minggu lalu.

Kejadian itu disedari ketika MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan Liga Malaysia musim ini.

Hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah di bilik High Mast Pole No 3 telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada Rabu, Ketua Polis Perak mengesahkan kes kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak tidak mempunyai unsur sabotaj.

Kenyataan itu dibuat selepas terdapat dakwaan kejadian itu bukan kes kecurian biasa sebaliknya dipercayai ada usaha untuk mensabotaj Perak FC.

Unsur sabotaj itu timbul selepas terdapat keraguan berhubung kejadian tersebut termasuk barang-barang yang dicuri dalam kejadian terlalu sedikit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!