Roslan mahu lebih serius hasilkan lukisan bermutu tinggi

Roslan bersama beberapa koleksi lukisan beliau yang di pamerkan oleh Art Market Malaysia di Four Seasons Place, Kuala Lumpur.
Roslan bersama beberapa koleksi lukisan beliau yang di pamerkan oleh Art Market Malaysia di Four Seasons Place, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Subjek lukisan yang diperkenalkan di sekolah rendah menjadikan seorang pelukis amatur, Roslan Razali menanam minat untuk bergelar seorang pelukis suatu hari nanti.

Bermula dengan minat dan bergabung dengan bakat semula jadi, anak kelahiran Kelantan ini tidak menoleh ke belakang lagi untuk merealisasikan cita-cita beliau apabila mempunyai banyak pendedahan dalam bidang tersebut.

“Ketika di sekolah rendah, saya didedahkan dengan teknik asas melukis iaitu mewarna dan melukis pelbagai flora-fauna. Minat saya semakin meningkat setiap tahun dari sekolah rendah hinggalah ke bersekolah menengah.

“Pada tahun 1992, saya mewakili Sekolah Menengah Ciku 3 menyertai satu pertandingan melukis antara sekolah-sekolah daerah Gua Musang.

“Walaupun hanya berjaya mendapat tempat ketiga, ia memberi semangat kepada saya untuk menerokai bidang lukisan dengan lebih serius. Lalu sempena Pesta Wau 1994, saya menyertai Pertandingan Melukis Peringkat Kota Bharu. Sekali lagi saya mendapat tempat ketiga,” ujar Roslan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Malaya (UM).

Selepas menamatkan persekolahan tingkatan lima, dia aktif menyertai pelbagai pertandingan lukisan, antaranya menyertai Pertandingan Melukis Batik 1995 di Gelanggang Seni Kota Bharu. Roslan mendapat tempat kelima daripada enam peserta terbaik daripada 30 orang peserta yang menyertai pertandingan tersebut.

Roslan mahu mendidik masyarakat mengenai pentingnya menghargai nilai seni dan mesej yang disampaikan dalam setiap karya lukisan yang dihasilkan.
Roslan mahu mendidik masyarakat mengenai pentingnya menghargai nilai seni dan mesej yang disampaikan dalam setiap karya lukisan yang dihasilkan.

Roslan memperlahankan seketika aktiviti melukis apabila dia menyambung pengajian di Akademi Seni Melaka dan Universiti Malaya (UM). Namun selepas menamatkan pengajian di UM dalam bidang Drama dan Seni Persembahan 2001, Roslan mula kembali melukis secara serius.

“Saya mula menerokai penggunaan medium daripada akrilik dan melukis di atas kanvas. Pada asalnya, karya-karya yang dihasilkan hanyalah dijadikan hadiah kepada ahli keluarga terdekat. Namun setelah melihat hasil lukisan yang diberikan, mereka mencadangkan agar ia dijual kerana mereka berpendapat lukisan yang saya hasilkan mempunyai nilai komersial,” ujar Roslan yang pernah menyertai delegasi seni ke Thailand bersama para pelajar UM yang menyertai Kelab Kesenian UM (KESUMA).

Kata-kata semangat daripada sanak saudara dan rakan taulan, menyebabkan Roslan semakin bersemangat untuk lebih aktif menghasilkan lebih banyak lukisan di atas kanvas. Bagi meningkatkan kemahiran diri, Roslan mengambil inisiatif ke Guangzhou, Shenzen (China) dan Jakarta (Indonesia) bagi melihat dan mempelajari teknik lukisan pelukis-pelukis terkenal di kedua-dua negara tersebut.

“Seperti yang kita maklum, senario industri lukisan di China dan Indonesia jauh lebih hebat daripada Malaysia, maka wajarlah saya mempelajari pelbagai pendekatan para pelukis-pelukis professional di sana.

“Saya cenderung menghasilkan karya separuh realisme dan separuh abstrak. Ia dekat dengan jiwa saya, mudah untuk menterjemahkan pelbagai mesej dan unsur-unsur moral kepada khalayak.

“Sebagai contoh, saya melukis sebuah kereta Wolkswagen yang terkandas semasa banjir akibat hujan lebat berlatarkan bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Suasana tersebut saya saksikan sendiri ketika selepas pulang dari tempat kerja, ia memberikian saya ilham bagaimana kejadian banjir berkait rapat dengan survival kehidupana warga kota di KualaLumpur yang sentiasa dihambat oleh kesesakan lalu lintas,” tegas Roslan.

Walaupun Roslan tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam seni tampak, namun beliau berjaya menghasilkan lukisan abstrak bernilai tinggi seperti karya bertajuk Kerongsang ini mempunyai makna yang tersendiri.
Walaupun Roslan tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam seni tampak, namun beliau berjaya menghasilkan lukisan abstrak bernilai tinggi seperti karya bertajuk Kerongsang ini mempunyai makna yang tersendiri.

Selain itu, Roslan gemar mengetengahkan subjek flora atau bunga-bungaan kerana ia memberi banyak konotasi kepada kehidupan manusia. Selain indah dan berwarna-warni, lukisan bertemakan bunga-bungaan memberi “nilai kehidupan” kepada ruang sama ada di rumah, pejabat atau kafe serta restoran mahupun hotel yang menggantungnya.

“Bagi saya, lukisan memberi “mood” yang tersendiri, jika kita lihat di ruang lobi hotel, ia memberi satu dimensi yang begitu indah. Selain mendapat ilham berdasarkan kejadian yang berlaku setiap hari, saya juga mendapat ilham untuk melukis subjek tertentu berdasarkan pembacaan dan kajian yang saya lakukan. Mungkin ada yang berpendapat melukis merupakan aktiviti yang mudah, lebih-lebih lagi melukis lukisan abstrak. Hakikatnya, melukis memerlukan kemahiran yang tinggi, selain bakat dan disiplin pengurusan masa.

“Menyiapkan sebuah lukisan kadangkala ia mengambil masa sehingga bertahun-tahun untuk disiapkan. Selain perlu fokus, pelukis juga perlu mengenepikan hambatan-hambatan kerja yang sentiasa mengejar kita,” ujarnya yang pernah menjadi Pengerusi Kelab Seni Lukis Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu.

Perancangan masa hadapan

Setiap pelukis khususnya pelukis amatur seperti saya pasti ada mnyimpan keinginan untuk lebih maju. Ia termasuklah untuk meningkatkan pencapaian atau kemajuan portfolio dalam bidang ini.

“Apabila saya mengenali Pengasas Art Market Malaysia pada tahun 2019, beliau memberi saya semangat untuk lebih serius menghasilkan lebih banyak karya yang bermutu. Jika sebelum ini, saya tidak merasakan lukisan saya akan dibeli oleh para peminat lukisan di negara ini, namun ia berlaku sebaliknya. Ramai peminat lukisan yang membeli karya-karya pelukis amatur seperti saya kerana Art Market Malaysia menyediakan platform yang mampu mempamerkan karya-karya yang saya hasilkan.

“Sebagaimana yang kita maklum, jika seseorang pelukis tidak mempunyai latar akademik yang formal dalam bidang seni tampak (lukisan) ini, mereka tidak mudah untuk menjual karya lukisannya dan tidak dikenali oleh para pemain industri lukisan, lebih-lebih lagi pengumpul (collector) yang berprofil tinggi.

“Ia menjadi satu kekangan kepada para pelukis amatur seperti saya dan rakan-rakan pelukis yang lain. Jadi dengan tertubuhnya Art Market Malaysia, saya dan para pelukis yang lain sangat bertuah dapat menjadi sebahagian pelukis atau artis yang bernaung di bawah satu bumbung bagi menyelaraskan pelbagai aktiviti seni tampak seperti pameran dan jualan hasil seni yang dihasilkan,” jelas Roslan lagi.

Roslan yakin minat, bakat dan pengalaman membolehkan seseorang pelukis amatur dapat mengahsilkan karya yang bermutu tinggi, walau npun tanpa pendidikan formal dalam bidang tersebut.
Roslan yakin minat, bakat dan pengalaman membolehkan seseorang pelukis amatur dapat mengahsilkan karya yang bermutu tinggi, walau npun tanpa pendidikan formal dalam bidang tersebut.

Impian dan harapan

“Saya mempunyai impian untuk memiliki sebuah galeri seni yang tidak sahaja menjual hasil karya saya sendiri, malah ia juga merupakan pusat sehenti kepada para pelukis amatur menjayakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan seni tampak.

“Selain pameran, galeri tersebut pastinya boleh dijadikan tempat untuk pertemuan para peminat seni tampak mengadakan forum dan bengkel, pusat latihan, aktiviti dokumentasi dan acara-program tertentu. Setakat ini saya telah menjual hampir 30 unit lukisan pelbagai saiz.

“Walaupun saya tidak melanjutkan pengajian dalam bidang seni tampak di peringkat sarjana, namun saya tetap mengasah bakat sebagai pelukis amatur apabila ada

kelapangan. Saya melihat, menghasilkan lukisan berpotensi untuk menjana pendapatan sampingan yang agak lumayan,” jelas Roslan mengakhiri temu ramah.

Profil Pelukis



Nama: Roslan RazaliNama Komersial: Tunjong Garden

Tarikh Lahir: 28 Disember 1976

Tempat Lahir: Kampung Tunjong, Kota Bharu (Kelantan)

Pendidikan:

- Sekolah Kebangsaan Mulong, Kota Bharu

- Sekolah Menengah Ciku 3, Gua Musang

- Sekolah Menengah Mulong, Kota Bharu

- Diploma Seni Penulisan, Akademi Seni Melaka

- Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Malaya

Pencapaian:

- Tempat Ketiga, Pertandingan Antara Sekolah-sekolah Daerah Gua Musang 1992

- Tempat Ketiga, Pertandingan Melukis, Pesta Wau 1994 Peringkat Kota Bharu

- Tempat Kelima (Enam yang Terbaik), Pertandingan Melukis Batik 1995, Gelanggang Seni Kota Bharu

- Peserta, Pameran Art Market Malaysia, 2019 hingga 2023.

Pelantar Media Sosial:

- Instagram @tunjongarden

- Facebook: Tunjong Garden

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!