Allegri puji impak Di Maria
MASSIMILIANO Allegri memuji impak dipamerkan Angel Di Maria selepas jaringan hatrik pemain sayap itu membantu Juventus menewaskan Nantes secara agregat 4-1 sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa.
Di Maria meletakkan Bianconeri di hadapan dengan sepakan lencong menarik selepas hanya lima minit permainan berlangsung sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-20.
Pemain antarabangsa Argentina itu tiada masalah untuk melengkapkan hatriknya menerusi tandukan pada minit ke-78 untuk menyempurnakan persembahan gemilangnya muncul pemain pertama kelab Serie A mencetak tiga gol dalam perlawanan Eropah sejak Filippo Inzaghi melakukannya pada 2000.
Allegri memuji peningkatan prestasi Di Maria selepas dibelenggu kecederaan pada awal kariernya di Juventus selepas perpindahannya dari Paris Saint-Germain (PSG).
"Angel merupakan juara dunia. Dia meningkatkan kualiti Juventus dan kami semua gembira memiliki sentuhannya.
"Mempunyai pemain sepertinya adalah penting buat pasukan. Kini, dia lebih mengenali pasukan dan lebih baik dari segi fizikal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!