ECRL bawa limpahan ekonomi

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

PERLAKSANAAN Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara.

Inisiatif pengangkutan awam itu, yang meliputi jarak sepanjang 640 kilometer bakal memberi impak besar kepada negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor.

Jajaran baharu itu yang dijangka siap pada Disember 2026, akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.

Ia turut memanfaatkan KLIA Express Rail Link (ERL) sedia ada serta MRT2 SSP Line yang akan dilaksanakan, dengan stesen pertukaran di Putrajaya Sentral.

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pembangunan ECRL selepas kosnya dapat dikurangkan kepada RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer di bawah perjanjian asal.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Nazli Aziz berkata, projek ECRL boleh merangsang proses urbanisasi terutamanya di kawasan yang terlibat dengan pembinaan stesen kereta api.

Berikutan itu, katanya, penduduk setempat bakal menikmati pembangunan banyak infrastruktur dan fasiliti baharu yang menjadi asas kepada pertumbuhan bandar-bandar baharu.

Beliau berkata, pembangunan itu akan membuka peluang dan ruang untuk industri pelancongan kerana orang ramai mempunyai pilihan pengangkutan yang lebih pantas dan mudah untuk sampai ke destinasi-destinasi pelancongan di Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

“Apabila ada proses urbanisasi, bilangan pelancong akan bertambah. Ini juga boleh mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan,” katanya.

No Image Caption

Tingkat pembangunan Pantai Timur

Nazli berpendapat, jajaran kereta api laju itu juga dapat membantu mengimbangi pembangunan antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pada masa ini, katanya, tumpuan pembangunan lebih banyak berlaku di Pantai Barat dan pelaksanaan ECRL boleh membantu memperluaskan lagi pembangunan di kawasan Pantai Timur.

“Selain itu, ECRL juga pastinya memudahkan pergerakan penduduk setempat dari satu destinasi ke destinasi yang lain,” katanya.

Sambil menyambut baik langkah kerajaan meneruskan projek mega itu, Nazli berkata jajaran ECRL di Terengganu boleh membantu mengurangkan harga barangan terutamanya makanan di negeri itu.

Ini kerana pengangkutan barangan secara pukal dengan menggunakan kereta api adalah lebih murah berbanding kapal terbang dan lori.

Menurutnya barang-barang makanan terutamanya produk makanan siap di Terengganu adalah lebih mahal berbanding di Kelantan atau Pahang.

“Selama ini, Terengganu bergantung kepada kaedah pengangkutan konvensional iaitu lori untuk membawa masuk produk makanan sedangkan di Kelantan, ada kemudahan kereta api manakala di Pahang, terdapat kemudahan pelabuhan,” jelasnya.

Sekiranya laluan kereta api siap dibina di negeri itu, beliau percaya isu harga makanan mahal di Terengganu boleh diatasi dan seterusnya membantu meningkatkan kesejahteraan kehidupan penduduk setempat.

Pengerusi Persatuan Pembatik Melayu Pantai Timur, Kamarozzaman Mohd Salleh pula berkata, ECRL sememangnya dinantikan kalangan usahawan dan ia dilihat boleh memudahkan urusan perniagaan mereka yang kerap berulang alik dari Kelantan dan Terengganu ke Kuala Lumpur.

“Kami sangat menyokong pembinaan ECRL... ia bagus untuk orang berniaga macam kami,” katanya.

Turut menanti limpahan manfaat ECRL adalah pengusaha keropok lekor di Kuala Terengganu, Mohd Pozi Hassan yang menjangka lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu.

“Kedatangan pelancong ke Terengganu dijangka meningkat, dan hal ini pastinya memberi lebih keuntungan kepada peniaga makanan,” katanya.Impak positif sektor pembinaan

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, perjanjian baharu ECRL antara lain menyaksikan penyertaan tempatan dinaikkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus.

Beliau berkata, perkara itu akan memberi impak positif kepada sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan tempatan.

“Ini bermakna kerja-kerja pembinaan bernilai RM17.6 bilion yang berkaitan dengan ECRL akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan.

“Selain itu, akan ada permintaan bagi bahan binaan seperti besi, simen, batu-batuan selain perkhidmatan profesional dan kemahiran daripada tenaga tempatan seperti jurutera, arkitek, jurubina dan juruukur bahan,” katanya.

Dari sudut jangka panjang pula, Mohd Afzanizam berkata, Malaysia akan terlibat secara langsung dalam rantaian projek mega ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) China yang melibatkan pelabuhan di Kuantan dan Klang.

Ini akan membawa kepada permintaan tinggi terhadap tenaga buruh mahir tempatan terutamanya yang berkaitan dengan industri kereta api.

“Kita sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai banyak pusat teknikal dan politeknik yang mampu menyediakan pekerja mahir tempatan untuk industri kereta api,” katanya.

Kehadiran lebih ramai pekerja akan membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana dan kecil selain meningkatkan lagi permintaan bagi makanan, rumah, kedai runcit dan pengangkutan di negeri-negeri yang bakal mempunyai jajaran ECRL. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!