Pengarah tawar pakej haji furada didakwa tipu warga emas
SELAYANG - Seorang Pengarah syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu seorang wanita warga emas berhubung pakej haji furada bernilai RM24,000, empat tahun lalu.
Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menipu seorang wanita warga emas berusia 69 tahun, dengan memperdaya hingga mendorongnya untuk menyerahkan RM24,000 bagi mengerjakan haji furada.
Ia menggunakan pakej haji yang ditawarkan oleh Syarikat Hiddan Travel milik tertuduh, di sebuah premis di sini, pada 24 hingga 26 Jun 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Loh Xian Yee mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Amin Abdullah merayu agar jumlah ikat jamin itu ditetapkan pada kadar yang rendah.
"Saya dimaklumkan terdapat penyelesaian antara tertuduh dengan pengadu, jadi saya mohon nilai itu dikurangkan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada membabitkan pelbagai syarikat perlancongan swasta, mencecah kerugian lebih RM5.67 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!