Peniaga kios PKNS enggan pindah, dakwa lokasi baharu tidak strategik

Ali Noor (depan empat dari kiri), Kamaruddin (depan tiga dari kiri) dan Abdul Rani (depan dua dari kanan) pada sidang akhbar di Kompleks PKNS pada Jumaat.
Ali Noor (depan empat dari kiri), Kamaruddin (depan tiga dari kiri) dan Abdul Rani (depan dua dari kanan) pada sidang akhbar di Kompleks PKNS pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 peniaga yang menjalankan perniagaan di lot kios ‘push cart’ Kompleks PKNS sejak 40 tahun lalu enggan berpindah ke lokasi baharu yang dinamakan sebagai Tempat Orang Lokal (TOL) kerana berpandangan ia tidak strategik walaupun berada dalam kawasan bangunan sama.

Pengerusi Badan Bertindak Peniaga 10 Lot Push Cart Kompleks PKNS, Ali Noor Sidin mendakwa, peniaga tidak diajak untuk berbincang bersama bagi mencari penyelesaian dan mewujudkan situasi menang-menang berhubung permasalahan tersebut.

Bagi mewujudkan situasi menang-menang sebelum pihak pengurusan mengeluarkan arahan tersebut mereka tidak diajak berbincang dalam suasana yang kondusif.

Ujarnya, peniaga kecil-kecilan dan produk Industri kecil dan Sederhana (IKS) itu bimbang dengan nasib mereka yang baharu pulih daripada kerugian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Kawasan tersebut walaupun tidak jauh dari lokasi sedia ada dianggap tidak strategik dan bakal menanggung kerugian seperti peniaga sebelumnya yang beroperasi di tapak itu.

"Kami sudah berniaga hampir 40 tahun di lokasi ini dan mengikut perjanjian sewa tapak antara kedua pihak ia masih sah sehingga 2025,” jelasnya pada sidang media Khamis.

Turut hadir peguam, Datuk Kamaruddin Ahmad dan aktivis sosial Abdul Rani Kulup Abdullah.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, mereka diminta pindah ke tapak perniagaan lain bagi memberi laluan kepada ekspo Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di kompleks tersebut setiap tahun.

Menurutnya, mereka kecewa apabila pihak pengurusan memberi keutamaan kepada peniaga lain sedangkan mereka ialah perintis terawal di situ.

“Kami diarah pindah demi memberi laluan kepada peniaga ekspo Hari Raya Aidil Fitri yang sanggup membayar RM13,000 sebulan berbanding mereka yang hanya dikenakan sewa RM1,000 sahaja.

“Hasil berniaga di sini dua anak saya berjaya menjadi jurutera dan selepas ini saya tidak tahu bagaimana kami hendak mencari makan di tempat yang semua orang tahu lokasi tidak strategik," ujarnya.

Sementara itu Kamaruddin berkata, sekiranya pihak pengurusan Kompleks PKNS enggan menerima bantahan mereka, beliau akan memfailkan injuksi pada minggu hadapan.

Menurutnya, kontrak perniagaan yang ditawarkan oleh pihak Kompleks PKNS bermula 1 Jun 2022 sehingga 31 Mei 2025.

“Peniaga hanya diberi ganti rugi sebulan sewa percuma di lokasi baharu. Mereka mempunyai hak dari sudut perundangan berdasarkan perjanjian sedia ada.

"Pihak pengurusan berhadapan dengan tuntutan kerugian bernilai ratusan ribu jika pecah kontrak (breach of contract) berlaku akibat arahan pindah semasa perjanjian tersebut masih sah,”jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Rani turut berkata, 10 peniaga yang diarah berpindah perlu dibantu bagi menggelakkan kerugian.

“Kesemua peniaga seharusnya dibantu untuk melariskan perniagaan mereka, bukannya diarah pindah sesuka hati ke lokasi yang sudah diketahui mendatangkan kerugian kepada mana-mana waima selebriti sekalipun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!