Suq Asnaf bantu pasar produk usahawan asnaf di Pahang
KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mewujudkan Suq Asnaf di Pekan bagi membantu memasarkan produk makanan yang dihasilkan usahawan asnaf di negeri ini.
Pusat jualan produk-produk asnaf di Taman Peramu Mawar, Pekan yang mula beroperasi Januari lalu itu adalah projek perintis pertama di Pahang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pusat itu kini diusahakan lima usahawan asnaf sendiri dengan bantuan Muip.
"Pihak Muip menyediakan ruang kedai selain membantu mempromosikan produk-produk keluaran asnaf yang dipasarkan di situ.
"Konsepnya sama seperti kedai lain cuma bezanya produk yang dipamer dan dijual adalah keluaran usahawan asnaf sepenuhnya.
"Setakat ini produk keluaran lebih 40 usahawan asnaf mencapai standard ditetapkan Muip dan diterima untuk dipamer dan dijual di Suq Asnaf di Pekan ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dr Asmadi berkata, Suq Asnaf Pekan berjaya mengumpulkan lebih 300 jenis produk makanan termasuk kuih muih, biskut, pes, pastri, pencuci mulut dan makanan sejuk beku yang dihasilkan golongan itu dari seluruh daerah di Pahang.
"Pembukaan pusat pemasaran ini mendapat sambutan baik orang ramai dari sekitar dan luar Pekan," katanya.
Tambah beliau, sekiranya projek perintis ini berjaya berdasarkan sambutan dan hasil jualannya, Muip bercadang untuk memperluaskannya ke daerah lain.
"Insya-ALLAH kami merancang untuk membuka satu lagi pusat pasaran produk asnaf seumpama ini tahun ini bagaimanapun bergantung kepada perkembangan dan kejayaan projek perintis itu dulu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!