Digi catat untung bersih rendah pada tahun kewangan 2022
DIGI.com Bhd (CelcomDigi) mencatatkan untung bersih yang lebih rendah kepada RM763.50 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022) daripada RM1.16 bilion tahun ke tahun disebabkan susut nilai tambahan dan kos kewangan hasil daripada penyelarasan dasar perakaunan dan anggaran, dan pelaksanaan penggabungan, serta Cukai Makmur.
Hasil bagi tempoh itu, bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM6.77 bilion berbanding RM6.33 bilion setahun sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.
Dalam kenyataan berasingan, CelcomDigi berkata, syarikat itu mencatatkan penambahbaikan yang menyeluruh dalam segmen pascabayar, prabayar, gentian dan perusahaan, dipacu oleh gabungan produk Internet berkelajuan tinggi serta memenuhi permintaan Internet yang semakin meningkat daripada pelanggannya.
Ia menambah bahawa purata data bulanan bagi setiap pengguna untuk pelanggan Digi mencapai 24.5GB, meningkat 18.4 peratus tahun ke tahun, manakala pelanggan Celcom merekodkan penggunaan 28GB, meningkat 15 peratus tahun ke tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam penggunaan data, terutamanya perkhidmatan 4G, disokong oleh penggunaan awal teknologi 5G dan peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dan platform.
"Memandangkan prospek ekonomi makro yang mencabar, kami akan menggunakan gabungan kekuatan kami untuk meletakkan diri kami pada masa hadapan, dengan tumpuan segera pada pengukuhan teras dan kawasan pertumbuhan hasil baharu, sambil memberikan pengalaman Internet yang berkualiti kepada pelanggan,” tambahnya.
Syarikat itu berkata, ia juga akan mendapatkan kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk cadangan menukar nama kepada CelcomDigi Bhd pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Jumaat.
Jika diluluskan, pemfailan rasmi mengenai keputusan EGM akan dibuat kepada Bursa Malaysia petang ini, kata syarikat itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!