Anak Najib tanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi
ALOR SETAR - Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin mengesahkan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi dalam pemilihan parti Mac depan.
Mohd Nazifuddin yang turut bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, Langkawi menjadi pilihannya setelah mendapat sokongan lebih 70 peratus daripada 103 cawangan parti itu di pulau berkenaan walaupun beliau disifatkan sebagai ‘orang luar’.
Menurutnya, atas keyakinan itu, beliau menawarkan diri bertanding di pulau legenda selepas berlaku kekosongan setelah penyandangnya, Datuk Nawawi Ahmad meninggal dunia di Jerman November lalu.
“Sebelum ini saya aktif di beberapa bahagian di Selangor, iaitu Kapar dan Sepang sejak 2009.
“Selepas itu ke Langkawi dan cuba bantu kerana saya sifatkan Langkawi antara kubu kuat UMNO dan saya mahu UMNO menang namun tapi apakan daya kita tak menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya pada sidang akhbar sempena sesi jelajah pengenalan calon-calon Pemuda UMNO Malaysia, di sini pada Jumaat.
Mohd Nazifuddin berkata, Langkawi memerlukan pemimpin muda yang boleh mengangkat isu-isu antarabangsa berikutan ia dikenali dunia sebagai pulau pelancongan.
“Ramai yang bersama saya di Langkawi beri sokongan untuk saya bertanding di Langkawi kerana mereka sifatkan pulau itu perlukan anak muda yang sudah biasa dengan platform antarabangsa agar Langkawi lebih maju, banyak isu-isu selepas pasca Covid-19 belum diselesaikan oleh pemimpin terdahulu.
“Saya mahu perubahan itu datang daripada Langkawi dan saya menawarkan diri bertanding sebagai ketua bahagian untuk bawa perubahan,” ujarnya.
Mengulas sama ada pencalonannya mendapat restu akar umbi UMNO Langkawi, beliau yakin kesemua ahli parti itu akan bersama beliau untuk menggerakkan perubahan.
“Sekiranya saya tidak mendapat sokongan akar umbi, saya tak akan bertanding. Saya bertanding selepas lebih 70 daripada 103 cawangan yang saya temui memberi sokongan penuh kepada saya,” katanya lagi.
Mohd Nazifuddin jelaskan, pencalonannya itu merupakan mesej kepada seluruh bahagian bahawa anak muda yang berkaliber boleh bersama UMNO dan menjadi aset kepada parti.
“Ini membuktikan UMNO bersedia berikan perubahan dan ruang untuk berubah,” tegasnya.
Dalam pada itu, mengulas peluang dirinya merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, katanya kemungkinan untuk menang atau kalah tetap ada.
“Tak kisahlah saya anak kepada Datuk Seri Najib atau tidak, risiko tetap ada. Saya menghormati proses pemilihan dan berterima kasih kepada UMNO kerana berikan peluang untuk kenalkan diri kepada perwakilan seluruh negara.
“Mereka akan mengundi, saya perlu usaha lebih kuat untuk dapatkan sokongan. Saya sudah berusaha sepenuhnya untuk pemilihan ini dan apa jua keputusan akan saya terima,” katanya.
Biarpun begitu, Mohd Nazifuddin tidak menganggap beliau akan berdepan laluan mudah bersaing dengan tiga lagi pencabarnya.
“Kalau saya tidak berusaha dan perwakilan tak kenal saya, peluang untuk kalah tetap ada. Apa pun saya bertanding dengan membawa mesej kepada anak muda bahawa UMNO terbuka dan terima pembaharuan termasuk individu daripada luar,” katanya.
Menurutnya, UMNO kini menghargai kepentingan sokongan anak muda dan parti mahukan anak muda untuk bersama memajukan negara.
Jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menyaksikan persaingan empat penjuru antara Mohd Nazifuddin, Mohd Hairi Mad Shah, Muhammad Farhan Khairuddin serta Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!