Lebih 500 kartel tipu bida tender kerajaan disiasat
KUALA LUMPUR - Siasatan sedang dilakukan membabitkan lebih 500 syarikat yang didakwa terlibat dalam kartel tipuan bida berkaitan perolehan kerajaan bernilai lebih RM2 bilion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) secara aktif dengan memberi fokus kepada perolehan-perolehan kerajaan bagi sektor perkhidmatan, makanan, pembinaan dan pembekalan.
Menurutnya, MyCC telah menjadikan sektor makanan dan pertanian sebagai fokus utama penguatkuasaan Akta 712.
"MyCC akan bertindak tegas, without fear or favour, terhadap mana-mana perusahaan dalam sektor di atas terutama bahan makanan jika mereka terlibat dalam kartel.
"Penalti kewangan yang boleh dikenakan adalah sehingga 10 peratus daripada pusing ganti dunia (worldwide turnover) perusahaan tersebut dan mereka boleh disenarai hitamkan jika kartel mereka berkait dengan perolehan kerajaan.
"Usaha kerajaan tidak terhenti di situ dalam menggerakkan MyCC untuk membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya menjawab soalan bertulis dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) di Dewan Rakyat.
Abdul Hadi meminta Salahuddin menyatakan sejauh mana usaha Kementerian telah dilakukan untuk menghapuskan kartel dan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menangani kos sara hidup rakyat yang meningkat.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, lima syarikat pengeluar makanan ayam yang didapati melanggar Seksyen 4 Akta 712 melalui satu perjanjian anti persaingan atau kartel dalam pasaran makanan ayam telah mengemukakan representasi bertulis mereka pada 31 Januari 2023.
"MyCC telah menjadualkan sesi pendengaran representasi mereka dalam bulan Mac 2023. Selepas itu, MyCC dijangka mengeluarkan keputusan akhir dalam suku ketiga tahun ini,"katanya.
Ujarnya, kerajaan juga akan memperkasakan MyCC melalui 2 cara iaitu membuat pindaan terhadap Akta 712 dan Akta Suruhanjaya Persaingan (Akta 713) dan menambahkan bajet dan sumber manusia MyCC supaya keupayaannya dapat dioptimumkan untuk menyelesaikan kes-kes dan menjalankan fungsi-fungsinya yang lain pada tahap tertinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!