B40 belanja tinggi pada kad kredit

B40 mempunyai kadar penggunaan kad kredit dengan peratusan sebanyak 34.2 peratus bagi menampung kewangan mereka pada masa sukar. - Gambar hiasan
B40 mempunyai kadar penggunaan kad kredit dengan peratusan sebanyak 34.2 peratus bagi menampung kewangan mereka pada masa sukar. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan berpendapatan rendah (B40) mempunyai kadar penggunaan kad kredit dengan peratusan sebanyak 34.2 peratus bagi menampung kewangan mereka pada masa sukar.

Ketua Monash School of Business, Profesor Dr Nafis Alam berkata, ia sekali gus melebihi peratusan purata negara yang berjumlah 23.7 bagi penggunaan kad berkenaan.

“Trend juga menunjukkan bahawa generasi lebih muda (Generasi-Y dan Z) menggunakan kad kredit jauh lebih kerap daripada sebelumnya.

“Ia berkemungkinan disebabkan desakan sosial, ini lantas meningkatkan tabiat berbelanja,” katanya dalam kenyataan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) pada Jumaat.

Sementara itu, CTOS melaporkan purata skor kredit dalam kalangan pengguna di Malaysia menunjukkan perkembangan baik dengan pertambahan daripada 663 menjadi 678.

Meskipun dilihat positif, mereka masih mempunyai risiko untuk tidak mendapat tawaran kredit terbaik yang memerlukan kategori skor bermula pada 697.

“Tambahan pula, terdapat 28.3 peratus pengguna tergolong di bawah kategori rendah dan lemah.

“Ini bermakna mereka tidak akan mendapat kredit daripada pihak institusi kewangan, oleh itu mereka mungkin akan terdedah kepada risiko menjadi mangsa pemberi pinjaman haram yang lazimnya mengenakan kadar faedah kredit yang terlalu tinggi,” ujarnya.

Justeru, agensi tersebut menasihatkan para pengguna mendapatkan pendidikan kewangan bagi memastikan keterjaminan dalam pengurusannya.

Dalam perkembangan lain, CTOS turut menyatakan kadar penembusan biro kredit di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“Hanya 20 ke 25 peratus penduduk di Indonesia mempunyai profil kredit manakala di Thailand, 67 peratus pengguna mereka tidak berpuas hati dengan kredit generik (umum) yang ditawarkan oleh bank mereka, disebabkan tiadanya pemarkahan kredit,” jelas agensi tersebut.

Walau bagaimanapun, Malaysia agak ketinggalan dengan negara lain di peringkat global dari sudut skor berkenaan dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang mempunyai skor kredit purata 716.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!