Belanjawan Malaysia Madani berlandas tiga tekad - PM

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama menelusuri kerangka Malaysia Madani menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara tiga tekad itu adalah pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan; reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.

Ujar beliau, pentadbiran itu bertekad atas prinsip pertanggungjawaban, untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang dan pada masa sama terus mempertingkat pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan.

“Analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini diunjur pada kadar empat peratus mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar.

“Meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh, kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus.

“Malah, mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran, saya yakin negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar beliau, kerajaan menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah RM291.5 bilion berbanding RM294.4 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, ia belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

“Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!