RUU Tanggungjawab Fiskal bakal dibentang di Parlimen tahun ini
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan satu-satunya jaminan agar kebijakan ekonomi akan menjadi lebih telus dan bertanggungjawab.
“Ia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berurus pada masa akan datang,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau berkata, atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan telah mengurangkan defisit fiskal 2023 daripada 5.6 peratus tahun sebelumnya kepada lima peratus pada tahun ini.
Jelasnya, Kerajaan Perpaduan juga bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.
“Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya hanya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!