Hasil kerajaan diunjur berkurang kepada RM291.5 bilion
KUALA LUMPUR - Hasil kerajaan Persekutuan dijangka berkurang secara marginal sebanyak satu peratus kepada RM291.5 bilion, berikutan hasil bukan cukai yang dianggarkan berkurang pada 2023 susulan harga minyak mentah dunia yang lebih rendah.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, walau bagaimanapun, hasil bukan cukai yang lebih rendah ditampung oleh peningkatan hasil cukai yang dijangka mencatat RM218.3 bilion.
"Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kerajaan Persekutuan dengan peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sekitar 12 peratus manakala hasil bukan cukai sebanyak empat peratus," katanya.
Kementerian itu berkata, kutipan cukai langsung dianggar meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM164.1 bilion, meliputi 75.2 peratus daripada jumlah hasil cukai, disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) yang lebih besar iaitu RM96.4 bilion dan cukai pendapatan individu RM35.3 bilion.
"Kutipan CITA yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya oleh prospek pendapatan korporat yang lebih baik dan usaha berterusan dalam meningkatkan pengauditan dan pematuhan cukai.
"Pada masa sama, kerajaan dijangka menerima baki cukai daripada Cukai Makmur bagi tahun taksiran 2022," kata MoF.
Sementara itu, kementerian berkata, hasil daripada cukai langsung lain yang merangkumi duti setem, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai lain dijangka meningkat secara marginal 0.1 peratus kepada RM10.2 bilion. Peningkatan duti setem kepada RM8.1 bilion dan CKHT kepada RM1.9 bilion adalah selaras dengan jangkaan pasaran harta tanah yang stabil.
MoF menegaskan cukai tidak langsung dijangka berkurang sebanyak 2.19 peratus kepada RM54.1 bilion berikutan kutipan levi keuntungan luar biasa ke atas minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah disebabkan oleh purata harga MSM yang diunjur lebih rendah pada 2023.
Walau bagaimanapun, kementerian berkata kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka lebih baik berjumlah RM33.3 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK.
"Kutipan cukai jualan diunjur meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM17.2 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi ke atas barangan buatan plastik dan elektrik, pakaian serta mesin dan alat ganti.
"Cukai perkhidmatan dianggar berjumlah RM16.2 bilion, disumbangkan sebahagian besarnya oleh permintaan yang lebih tinggi bagi sektor makanan dan minuman diikuti sektor telekomunikasi dan insurans.
"Duti eksais pada 2023 dijangka berkurang sebanyak 19 peratus kepada RM12.4 bilion berikutan jangkaan jumlah volum industri yang lebih rendah ke atas kenderaan bermotor selari dengan laporan oleh Persatuan Automotif Malaysia," katanya.
Menurut laporan itu, hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM73.2 bilion berikutan hasil pendapatan pelaburan yang lebih rendah terutamanya daripada dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
"Pada 2023 kerajaan dijangka menerima dividen Petronas berjumlah RM40 bilion manakala dividen Bank Negara Malaysia dijangka lebih rendah pada RM2.75 bilion. Tambahan pula, sumbangan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dijangka kekal sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan," katanya.
Sementara itu, kutipan lesen dan permit dijangka berkurang 9.3 peratus kepada RM14.2 bilion disebabkan oleh pengurangan royalti petroleum seiring dengan purata harga minyak mentah dunia yang lebih rendah.
Bagaimanapun, komponen utama lain bagi lesen dan permit seperti kenderaan bermotor dijangka meningkat kepada RM3 bilion manakala levi pekerja asing sebanyak RM3.5 bilion.
Kementerian itu berkata, hasil berkaitan petroleum pada 2023 dijangka berkurang sebanyak 20.9 peratus kepada RM65.2 bilion selaras dengan purata harga minyak mentah dunia yang diunjur AS$80 (AS$1=RM4.43) setong dan dividen Petronas yang lebih rendah.
Peratusan hasil berkaitan petroleum kepada KDNK dianggar berkurang kepada 3.5 peratus, merangkumi 22.4 peratus daripada jumlah hasil.
Dalam pada itu, hasil bukan petroleum diunjur meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM226.3 bilion sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk meluaskan asas hasil berserta langkah-langkah di bawah Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan pengauditan berterusan.
"Sebagai peratusan kepada KDNK, hasil bukan petroleum diunjur sebanyak 12 peratus mencerminkan pengurangan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum," tambah kementerian kewangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!