Kemakmuran dikecapi 2022 pacu daya tahan ekonomi negara 2023
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kesejahteraan yang dikecapi Malaysia pada tahun 2022 dengan hasil yang jauh lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan menjadi pemangkin kepada kerajaan memperuntukkan jumlah yang lebih besar dalam Belanjawan 2023, bagi memastikan ekonomi negara mampu mengharungi cabaran luar.
Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2023 itu di Dewan Rakyat pada Jumaat, telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.
Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka, katanya.
Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion ketimbang (berbanding) RM71.6 bilion tahun lalu.
"Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
"Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat," kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, Belanjawan 2023 bertema 'Membangun Malaysia Madani' itu merupakan cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.
Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dapat diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.
Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi diunjurkan tumbuh sekitar 4.5 peratus, setelah mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran.
"Saya yakin negara akan melepasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus. Tentunya, ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kutipan hasil 2023 dijangka berjumlah RM291.5 bilion daripada RM294.4 bilion pada tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.
Menurut Perdana Menteri, hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023 manakala bayaran khidmat hutang mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil iaitu melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.
Kadar inflasi pula diunjur kekal seperti tahun 2022 iaitu pada kadar 3.3 peratus dan menjangkakan ia akan lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani, tambah beliau.
Selain itu, Anwar berkata, defisit fiskal 2023 dikurangkan kepada 5.0 peratus ketimbang 5.6 peratus tahun lalu dan kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025.
Beliau turut menyatakan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen tahun ini untuk menjamin kebijakan ekonomi lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berterusan pada masa akan datang.
"Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama," tambahnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Beliau menjelaskan dalam keadaan rakyat terbanyak yang masih susah, inflasi makanan lebih 5.0 peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata ia bukan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakan cukai itu.
Sementara itu, kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Barangan Mewah serta mengkaji memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah, katanya.
Bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus berdaya saing, kerajaan akan mengurangkan kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama daripada 17 peratus kepada 15 peratus.
Beliau berkata, hampir RM10 bilion dana pinjaman bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia bagi meringankan beban kewangan dan menyokong pengembangan perniagaan mereka.
Dalam usaha merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepatkan kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi, kata Anwar.
"Kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memudahcara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat," jelasnya.
Perdana Menteri berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga tahun ini untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan.
"Selari dengan pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil.
"Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperolehi sepenuhnya oleh negara dan rakyat," katanya.
Sementara itu, bagi pelaburan dalam sektor keutamaan, kerajaan akan melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024 bagi menarik pelaburan daripada syarikat yang terjejas akibat Covid-19 untuk beroperasi di Malaysia.
Insentif cukai pendapatan dan elaun cukai pelaburan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa bagi menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baharu.
Bagi kemudahan internet untuk rakyat, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) dan untuk ini, sejumlah RM725 juta disediakan tahun ini bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.
Jelas Anwar, sejumlah RM1 bilion juga tersedia sebagai dana pembiayaan di bawah BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi.
Sementara itu, beliau menambah nilai pelaburan terkumpul bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dianggarkan mencecah RM50 bilion tahun ini.
Katanya, syarikat GLC antaranya Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion.
Menyentuh projek pengangkutan, Anwar berkata, kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.
Berkenaan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula perincian projek untuk memastikan nilai terbaik, dan yakin mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion.
Asalnya, pada tahun 2018, Projek MRT3 dianggar melibatkan kos RM68 bilion. Namun, pada tahun lalu, proses perolehan projek dimulakan dan kos projek dianggarkan RM50 bilion.
Sementara itu, untuk golongan berpendapatan pertengahan (M40), Anwar berkata, bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000, dan kerajaan akan menaikkan kadar cukai antara 0.5 sehingga dua peratus bagi setiap banjaran pendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.
Menyentuh isu perlindungan sosial, Anwar berkata, kerajaan bercadang meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga menyokong peningkatan jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini sebagai satu cara meningkatkan pegangan ekuiti dalam kalangan bumiputera.
"Pentadbiran ini juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak RM5 bilion," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!