Geran sepadan RM50 juta galakkan automasi sektor perladangan

Kerajaan akan menyediakan sejumlah RM80 juta bagi menambah baik kelestarian industri sawit. (Gambar hiasan)
Kerajaan akan menyediakan sejumlah RM80 juta bagi menambah baik kelestarian industri sawit. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi geran sepadan untuk mengalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik serta kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan berkemahiran.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman syarikat Sime Darby Plantation Bhd membuktikan bahawa pekerja tempatan bersedia untuk bekerja di ladang sawit dengan gaji minimum RM3,000 dan persekitaran kerja lebih menarik dibantu oleh mekanisasi dan mengadaptasi automasi.

"Sasaran mereka adalah untuk menggaji 100 peratus pekerja tempatan menjelang akhir 2027,” kata beliau.

Menjelaskan selanjutnya, Perdana Menteri berkata, sektor sawit misalnya telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM20 bilion akibat dasar yang mengekang pengambilan pekerja terutama pekerja asing.

Malah, dengan dasar pemutihan baru-baru ini, beliau berkata, masalah ini hampir selesai tanpa melibatkan ejen yang mengambil laba yang tinggi.

"Kebanyakan sektor berisiko tinggi masih bergantung dengan pekerja asing. Ini disebabkan sektor ini menawarkan gaji rendah dan kebajikan pekerja tidak terjamin,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga akan menyediakan sejumlah RM80 juta bagi menambah baik kelestarian industri sawit serta mempergiat Kempen Menangani Aintiminyak Sawit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!