[VIDEO] Diskaun PTPTN hingga 20 peratus selama tiga bulan
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.
“Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
“Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac depan,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan menerima peruntukan sebanyak RM15.3 bilion pada tahun ini berbanding RM14.5 bilion pada tahun 2022.
“Antaranya, sejumlah RM436 juta disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
“Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN),” jelasnya.
Mengulas mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilihat penting, Anwar berkata, sejumlah RM428 juta disediakan untuk melaksanakan aktiviti R&D di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Antaranya termasuklah peruntukan tambahan RM50 juta ringgit untuk KPT mempergiat R&D berbentuk translasional yang lebih memberi manfaat kepada penyelesaian isu komuniti dan industri.
“Selain itu, MOSTI juga diperuntukkan sebanyak RM15 juta ringgit geran R&D khusus berkenaan penghasilan vaksin negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!