16 individu dipanggil rakam keterangan kes kapal kargo hilang
SHAH ALAM - Seramai 16 individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 pada 9 Januari lalu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ia bertujuan untuk membantu agensi tersebut mendapatkan maklumat untuk dijadikan petunjuk dalam meneruskan pencarian krew dan kapal berkenaan.
"Kesemua individu ini terdiri daripada pemilik kapal, syarikat dan wakil-wakil serta ejen yang dilantik, ahli keluarga mangsa dan bekas kru kapal MV Dai Cat 06," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, mengulas mengenai laporan media berkaitan video dakwaan kapal kargo tersebut yang kini dihanyutkan sehingga berada berhampiran kepulauan Karimun, Indonesia, jelas beliau, video berkenaan dipercayai rakaman lama yang dihantar oleh kru kapal berkenaan pada 1 Januari lalu.
"Seorang wanita mendakwa anaknya telah menerima satu hantaran video disyaki daripada salah seorang kru kapal berkenaan.
"Siasatan mendapati ia merupakan video lama bagi berkongsi keadaan kapal tersebut sebelum ia dilaporkan hilang beberapa hari kemudian," katanya.
Mohd Zubil berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kehilangan kapal MV Dai Cat 06.
"Andaian dan spekulasi yang dikongsi melalui media sosial tanpa pengesahan yang sahih boleh menimbulkan keresahan dan kebimbangan terutama ahli keluarga mangsa.
"Selain itu, dengan penyebaran spekulasi sebegini juga boleh menjejaskan siasatan dan pencarian kapal malang tersebut," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berkaitan insiden tersebut diminta tampil melaporkan dan berkerjasama dengan Maritim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!