Pulau Pinang sambut baik cadangan pembesaran LTAPP

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap dengan pembesaran lapangan terbang itu, ia boleh menampung kira-kira 20 juta penumpang setahun.

Menurutnya, pembesaran lapangan terbang itu juga akan dapat meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri-negeri Koridor Utara serta pelancongan dan industri Pulau Pinang.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam pelaksanaan projek ini.

"Kami berharap projek itu dapat dimulakan pada tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, Pulau Pinang juga mengalu-alukan peruntukan RM50 juta untuk membantu Georgetown dan Melaka dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk memuktamadkan projek dan program terbaik untuk dilaksanakan di Georgetown.

"Kerajaan Persekutuan kali terakhir memberikan peruntukan kepada Pulau Pinang untuk kerja warisan ialah apabila GeorgeTown disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Kerajaan Persekutuan hari ini telah menunjukkan keprihatinannya kepada Pulau Pinang yang telah lama diabaikan.

"Ia adalah satu isyarat yang baik daripada Menteri Kewangan Pulau Pinang, walaupun masih terdapat banyak projek infrastruktur yang perlu dilaksanakan untuk membantu Pulau Pinang mengatasi kekangan pembangunannya," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk mendapatkan kelulusan permohonan yang dikemukakan pihaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!