Gagal tempah tiket punca tipu pakej umrah
PARIT BUNTAR - Kegagalan segelintir agensi pelancongan menyelesaikan urusan tempahan tiket penerbangan terhadap pelanggan menunaikan ibadah umrah menjadi faktor utama berlaku lambakan kes penipuan pakej umrah di negara ini sejak kebelakangan ini.
Perkara itu didedahkan Pengarah Urusan Busyra Holidays Sdn Bhd, Abdul Rahim Ibrahim yang menyifatkan urusan memuktamadkan tempahan tiket penerbangan pelanggan bakal mengerjakan ibadah umrah adalah perkara paling penting perlu diberi perhatian mana-mana agensi pelancongan.
Menurutnya, apabila urusan tempahan tiket penerbangan tidak dapat dimuktamadkan, risiko jemaah ibadah umrah ditipu adalah tinggi kerana syarikat terbabit pastinya berdepan kesukaran menguruskan perkara berkaitan penginapan hotel, visa, insurans dan makan minum.
"Taktik terkini, segelintir agensi pelancongan tidak bertanggungjawab menarik minat pelanggan mengambil pakej ibadah umrah ditawarkan adalah dengan menawarkan pakej murah, namun menjanjikan jemaah menaiki penerbangan secara terus dan bertaraf lima bintang seperti Saudi Air atau Malaysia Airlines Bhd.
"Kadangkala harga pakej umrah ditawarkan tidak masuk akal, sedangkan mereka sebenarnya belum membuat pengesahan tempahan tiket penerbangan pelanggan mereka lagi," katanya kepada media pada program Karnival Jelajah Lambaian Kaabah anjuran Busyra Holidays Sdn Bhd dengan kerjasama Mydin Mall Parit Buntar di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Besar Umrah dan Haji Busyra Holidays Sdn Bhd, Mohd Burhan Zakaria dan Pengurus Busyra Holidays Sdn Bhd cawangan Parit Buntar, Mohammad Suffian Rosman.
Abdul Rahim berkata, Busyra Holidays Sdn Bhd sentiasa memastikan konsep peduli jemaah ibadah umrah diutamakan dengan menjadikan inisiatif mengesahkan tempahan tiket penerbangan pergi balik setiap jemaah diselesaikan secepat mungkin sebaik bayaran dibuat.
Menurutnya, mana-mana bakal jemaah umrah juga dibekalkan dengan ilmu 3P iaitu Pengetahuan Umrah, Pemilihan Pakej Haji dan Penipuan Pakej Haji bagi memastikan kesemua pelanggan syarikatnya mengetahui kualiti produk dipilih dan tiada sebarang keraguan dari segi ibadat dan perkara lain sepanjang tempoh mereka menunaikan ibadat umrah.
"Setiap kali pelanggan kami mengikuti kursus umrah, kita akan menunjukkan siri tempahan tiket penerbangan setiap jemaah yang sudah dimuktamadkan sebagai bukti komitmen syarikat memastikan urusan ibadah haji mereka bakal dilaksanakan seperti dirancang.
"Sasaran kami bagi tahun 1441 Hijrah adalah seramai 3,000 jemaah umrah bakal mengikuti pakej umrah ditawarkan.
"Diperkuatkan barisan pembimbing ibadah umrah berpengetahuan luas, saya yakin tawaran pakej umrah oleh Busyra Holidays Sdn Bhd mampu menarik perhatian pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan kami yang terbukti berkualiti dan mendapat pengiktirafan banyak pihak," katanya.
Selain pakej ibadah umrah, Abdul Rahim menegaskan Busyra Holidays Sdn Bhd turut menawarkan pakej pelancongan menarik ke 17 destinasi pelancongan terkemuka di seluruh dunia dan dalam negara dengan harga berpatutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!