Enam teras Madani dasari pembangunan sosioekonomi negara

Kerajaan mengutamakan pengukuhan ekosistem tadbir urus pada semua peringkat bagi meningkatkan keyakinan rakyat.
Kerajaan mengutamakan pengukuhan ekosistem tadbir urus pada semua peringkat bagi meningkatkan keyakinan rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil pendekatan lebih holistik dan inklusif untuk membangunkan Malaysia dengan memberikan penekanan kepada kepentingan menyepadukan komponen insaniah dengan pembangunan ekonomi selaras konsep Karamah Insaniah dan bersandarkan enam teras utama dalam konsep Madani.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat, dasar, strategi dan program untuk pembangunan sosioekonomi negara akan memberikan tumpuan dalam enam teras berkenaan iaitu memperkukuh kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, keyakinan, nilai hormat dan ihsan.

Menerusi teras kemampanan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi dan insentif kepada industri pertanian dan perikanan serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan bekalanan makanan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk pengusaha agromakanan dalam Belanjawan 2023.

Di bawah teras kesejahteraan pula, kerajaan akan mengkaji kadar gaji minimum yang lebih wajar dan ditanda aras dengan paras gaji median semasa atau Pendapatan Garis Kemiskinan selain memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara dengan memperkukuh kawalan sempadan demi kemakmuran rakyat.

Melalui aspek daya cipta pula, kerajaan akan mempercepat penerimagunaan digitalisasi dan inovasi teknologi serta meningkatkan langkah keselamatan siber sejajar dengan pelancaran 5G sebagai pemacu pertumbuhan.

Bagi teras hormat, usaha itu penting bagi menyatupadukan rakyat dalam menyumbang kepada kemakmuran negara termasuk meningkatkan taraf hidup dan status sosioekonomi masyarakat tertentu, khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar dan golongan rentan bagi menggalakkan inklusiviti.

Dengan pencapaian dan penyertaan ekuiti Bumiputera yang masih rendah dalam pelbagai aspek, maka Belanjawan 2023 akan menumpukan kepada usaha meningkatkan penglibatan golongan itu dalam pelbagai aktiviti sosioekonomi yang bernilai tambah tinggi sertai mempunyai potensi pertumbuhan bagi melahirkan masyarakat Bumiputera yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Menerusi teras keyakinan, kerajaan mengutamakan pengukuhan ekosistem tadbir urus pada semua peringkat bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada institusi kerajaan seperti meningkatkan ketelusan, integriti, kecekapan dan akauntabiliti terutama dalam perolehan kerajaan, tata kelola syarikat berkaitan kerajaan dan institusi Parlimen.

Teras ihsan yang merupakan teras terakhir Madani meliputi perhatian untuk mengurangkan beban kewangan golongan rentan termasuk golongan miskin, orang kurang upaya dan warga emas bagi memastikan taraf hidup terus dipertingkat.

Usaha tersebut termasuk meningkatkan bilangan serta memudah cara pemilikan rumah mampu milik, menambah baik akses kepada pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti serta melaksanakan program untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!