Lebih RM500 juta selenggara rumah tentera, institusi bawah KDN
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan lebih RM500 juta untuk menyelenggara Rumah Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berfasa.
Mengenai anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen perlu membuat penyelesaian penuh baki pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), beliau berkata, kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan peluang untuk anggota meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai.
"Usaha ini membolehkan 4,000 peminjam LPPSA layak menstruktur semula pembiayaan mereka dan 700 peminjam bakal bersara tidak berpencen setiap tahun dapat meneruskan bayaran balik pinjaman seperti biasa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, bagi memastikan veteran ATM disediakan pekerjaan dan kemudahan latihan memandangkan golongan itu menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan selepas umur persaraan, pentadbiran ini akan melaksanakan Program Kerja Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
"Di bawah ikhtiar ini, seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini akan dijamin dipadankan dengan peluang pekerjaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, bagi meningkatkan kemahiran 1,250 veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama agensi kerajaan lain akan menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!