Kerajaan wajibkan pekerja sendiri carum SKSPS
KUALA LUMPUR - Kerajaan bertekad untuk meningkatkan kemampanan sistem keselamatan sosial dengan mewajibkan semua pekerja sendiri untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) secara berperingkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu sebagai langkah melindungi mereka daripada sebarang kejadian tidak diingini, kemudahan perlindungan sosial perlu terus diberi perhatian.
"Sekarang ini, anak muda yang mencari pendapatan sebagai ‘gig riders’ terdedah dengan bahaya kemalangan jalan raya dan lebih malang sekiranya mereka tidak punyai sebarang perlindungan pekerjaan,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Anwar berkata, dalam tempoh peralihan, kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengurangkan bebanan dan menggalakkan pekerja sendiri membuat caruman dalam Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso.
"... RM100 juta disediakan untuk memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan bercadang meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM3,000. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!