Sektor korporat ceria tanpa cukai makmur - Abdul Wahid
Abdul Wahid
A
A
A
"Tanpa pengenaan Cukai Makmur, penganalisis meramalkan konsensus kadar pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 20.1 peratus untuk 2023 berbanding negatif 1.3 peratus untuk 2022.
"Ini petanda yang baik untuk pasaran modal,” katanya dalam satu kenyataan selepas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
Beliau juga memuji komitmen yang dipertingkatkan terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan mampan.
"Saya gembira apabila Perdana Menteri komited kepada belanjawan pengembangan tetapi dengan kemampanan kewangan jangka panjang dan tanggungjawab fiskal dengan mengurangkan defisit fiskal kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 daripada 5.6 peratus pada 2022 dan seterusnya kepada 3.2 peratus pada 2025,” katanya.
Beliau berkata ini akan dapat dicapai dengan meningkatkan keberkesanan kutipan cukai dan menutup ketirisan serta meluaskan asas hasil dengan pengenalan semula cukai ke atas barangan mewah dan cukai keuntungan modal (CGT) ke atas saham dalam syarikat-syarikat yang tidak tersenarai.
Beliau menambah bahawa yang kedua itu adalah optimum kerana ia akan menggalakkan lebih banyak syarikat tidak tersenarai untuk menyenaraikan saham mereka di bursa saham dan merangsang pertumbuhan pasaran modal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!