Peruntukan RM1.5 bilion institusi Islam perlu diurus dengan baik
SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berharap agar RM1.5 bilion yang diperuntukkan bagi memperkasa institusi Islam dapat diuruskan dengan urus kelola terbaik.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, agensi Islam seharusnya menjadi contoh dalam setiap urusan mengelola sumber kewangan agar dapat diikuti oleh agensi lain.
“Ini adalah wajar. Agensi mana lagi yang boleh diharapkan untuk mengelolakan kewangan dan urus tadbir terbaik sesuai dengan panduan Islam. Jika tidak dari seluruh warga petugas yang ditempatkan di agensi Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion berkaitan hal ehwal Islam dalam belanjawan tahun ini.
Mohd Azmi mengharapkan agar Belanjawan Madani tersebut benar-benar diterjemahkan dalam pengurusan seluruh agensi Islam di bawah kerajaan.
Jelasnya, nilai rahmah, ihsan dan kebertanggungjawaban perlu ditunjukkan dengan komprehensif untuk melaksanakan belanjawan tersebut.
“Kami mengharapkan agensi Islam menjadi kayu pengukur Belanjawan Madani direalisasikan. Setiap kakitangan perlu bersungguh dalam melaksanakan tugasan atas nama amanah dari ALLAH yang mesti dilaksanakan dengan sempurna
“Prestasi pelbagai agensi Islam di pusat dan negeri kini perlu ditingkatkan sehingga Islam dihormati sebagai agama yang membentuk kecemerlangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu membuka pintu kerjasama dengan semua pertubuhan Islam untuk bersinergi dan menjayakan agenda Madani di bawah gagasan Perdana Menteri.
“Program dakwah yang efektif dan mampu mendekati golongan bukan Islam dengan hikmah sangat perlu gabungan tenaga antara kerajaan dan pertubuhan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!