Pemadam gesa kerajaan bentang RUU Kawalan Produk Tembakau

Sudah tiba masanya untuk negara mempunyai satu rang undang-undang khas kepada produk tembakau dan tabiat merokok bukannya dimasukkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Jamelah
Sudah tiba masanya untuk negara mempunyai satu rang undang-undang khas kepada produk tembakau dan tabiat merokok bukannya dimasukkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Jamelah
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan supaya membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi memelihara kepentingan kesihatan awam masyarakat di semua peringkat khususnya generasi muda.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Pemadam, Datuk Jamelah A Bakar berkata, sudah tiba masanya untuk negara ini mempunyai satu rang undang-undang khas kepada produk tembakau dan tabiat merokok bukannya dimasukkan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada.

“Pemadam berharap kita berusaha mengurangkan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja seiring dengan objektif Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2021-2030 iaitu menurun prevalen merokok kepada 15 peratus menjelang tahun 2025 dan mengekalkan prevalen merokok kurang daripada lima peratus dalam kalangan wanita berumur 15 tahun ke atas.

“Kemudaratan berpunca daripada penggunaan produk merokok khususnya vape sehingga berlakunya Vaping Associated Lung Injury (EVALI) wajib dibendung.

“Perkara ini sangat membimbangkan memandangkan peningkatan yang ketara dalam jumlah pengguna rokok elektronik terutama dalam kalangan remaja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Jamelah berkata, tindakan kerajaan mengenakan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape adalah satu langkah yang baik.

Bagaimanapun, menurutnya, percukaian semata-mata tanpa kawalan ketat terutamanya terhadap pengiklanan dan promosi produk merokok akan menyebabkan produk-produk merokok yang merbahaya itu terus berleluasa tanpa kawalan.

“Tindakan ini seiring dengan Artikel 6 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) berkaitan cukai dan ukuran harga.

“Pengenaan duti eksais ini sebagaimana duti eksais terhadap produk tembakau membolehkan harga jualan runcit dinaikkan selaras dengan pengenaan duti eksais untuk memastikan harga di pasaran meningkat.

“Ini secara tidak langsung mengurangkan kebolehdapatan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!