Dua pekerja asing maut kemalangan di kilang
BATU KAWAN - Dua pekerja warga asing meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan selepas cedera semasa menjalankan kerja di dua kilang berasingan di Taman Perindustrian Batu Kawan dan di Perai, dekat sini dalam kejadian baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, ekoran dua kejadian itu, pihaknya telah mengeluarkan Notis Larangan dan kerja-kerja di lokasi kejadian dihentikan serta-merta hingga siasatan selesai dijalankan.
"Dalam kejadian di kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan, seorang lelaki Pakistan berumur 41 tahun terjatuh dari tangga setinggi 2.44 meter semasa menjalankan kerja menukar lampu yang rosak di pejabat di situ pada 2.40 petang 17 Februari lepas.
"Pekerja itu memberitahu penyelianya dan mengadu kepalanya sangat sakit serta berasa pening sebelum majikannya membawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas hampir seminggu mangsa mendapatkan rawatan, lelaki itu disahkan meninggal dunia semalam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam satu lagi kejadian pada 10.50 pagi 10 Februari lepas, Hairozie berkata, seorang pekerja warga Bangladesh dan seorang pekerja kimpalan warga tempatan disambar api ketika menjalankan kerja pembersihan sisa skrap di dalam terowong untuk pembakaran di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Perai.
"Kedua-dua mereka dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Mangsa warga tempatan dirawat di wad biasa, manakala lelaki Bangladesh tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia semalam," katanya.
Menurutnya, JKKP Pulau Pinang memandang serius kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terlibat jika terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!