Perhilitan pantau pergerakan Gajah
JELI - Seekor gajah jantan seberat dua tan yang ditangkap di Kampung Kalai akan dipasang dengan alat pengesan (satalite collar) selepas dipindahkan ke Taman Negara, kelmarin.
Pengarah Perhilitan negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, langkah berkenaan bagi mengesan pergerakan haiwan berkenaan.
Menurutnya, gajah terbabit merupakan salah seekor daripada dua spesies mamalia berkenaan yang berjaya ditangkap anggota jabatan tersebut Rabu lalu.
"Setakat ini, empat gajah liar yang berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat asal dipasang dengan alat pengesan itu," katanya kepada media di sini, kelmarin.
Bagaimanapun katanya, tidak semua gajah ditangkap perlu dipasang dengan alat pengesan kerana melibatkan kos yang tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi pemindahan yang dijalankan, Ady Ermanty Haniff berkata, operasi diketuai Timbalan Pengarah Perhilitan negeri, Shaary Awang Besar itu melibatkan 23 anggota dari jabatan perhilitan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah termasuk Ketua Pusat, Mohamad Khairul Adha Mat Amin.
"Operasi bermula jam 8 pagi hingga 1 petang itu dibantu dua gajah denak, Rambai dan Abot, proses pemindahan berjalan lancar tanpa sebarang kekangan, gajah juga dalam keadaan baik," katanya.
Tambahnya, bermula Januari sehingga semalam, pihaknya berjaya memindahkan lima ekor gajah melibatkan kawasan Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli.
Katanya, gajah berkenaan dipercayai dari sekumpulan 10 ekor yang dikatakan berkeliaran di kawasan berkenaan sejak awal April lalu.
Dalam pada itu, difahamkan seekor lagi gajah yang berjaya ditangkap pada hari sama akan dipindahkan Isnin ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!