RM324 juta tambah baik program latihan, kemudahan sukan

Sebanyak RM324 juta diperuntukkan bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk atlet negara. - Foto Bernama
Sebanyak RM324 juta diperuntukkan bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk atlet negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM324 juta dalam Belanjawan 2023 bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk para atlet sukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana RM5 juta turut disediakan untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bermula tahun ini bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet.

"Dalam masa sama, kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM20 juta disediakan bagi program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM102 juta disediakan sebagai Dana Kandungan Digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.

"Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai.

Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM10 juta disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!