Tun M sah sertai Putra

Dr Mahathir - Foto fail Bernama
Dr Mahathir - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Perkara itu disahkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Jelas beliau, penyertaan tersebut adalah selaras dalam usaha menyatupadukan parti dan pertubuhan bangsa Melayu.

“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan.

“Doakan semoga Allah permudahkan perjuangan kami. Hanya melalui penyatuan orang-orang melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” kata beliau.

Sebelum ini, Mahathir memberi bayangan akan menyertai parti berkenaan dan tidak menolak hasrat pihak terbabit sekiranya mahu menjadikannya sebagai penasihat,

Ia susulan presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang mempelawa beliau dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad untuk menjadi ahli Putra.

Sebelum itu, Ibrahim telah melakukan kunjungan ke Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyerahkan borang keahlian menyertai parti itu kepada Tun Dr Mahathir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!