Belanjawan 2023 perkasa KPKT, kukuh agenda kesejahteraan rakyat
PUTRAJAYA - Belanjawan 2023 memperkasakan lagi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meneruskan usaha mengukuhkan agenda kesejahteraan rakyat dalam sektor perumahan, kebombaan, komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai reformis, progresif dan mesra rakyat berkata, KPKT menerima peruntukan RM5.333 bilion berbanding RM5.146 bilion pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 3.63 peratus.
Beliau berkata, KPKT menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang mengetengahkan nilai-nilai MADANI dalam menentukan hala tuju negara, menyemai harapan dan membina keyakinan rakyat.
"KPKT komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirangka bagi memperkasa setiap lapisan masyarakat sama ada dari sudut ekonomi mahupun sosial.
"Belanjawan 2023 dilihat terus memberi tumpuan kepada agenda daya huni di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat.
Kor Ming berkata, sebanyak 11 inisiatif melibatkan KPKT diumumkan menerusi Belanjawan 2023 antaranya peruntukan RM50 juta bagi penggantian lif usang di Program Perumahan Rakyat (PPR).
Turut diumumkan peruntukan RM367 juta bagi pembangunan PPR baharu yang bakal memanfaatkan 12,400 penghuni.
Menerusi belanjawan itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi memperbanyakkan aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari termasuk RM10 juta untuk menggerakkan program kebun komuniti di peringkat Parlimen sebagai menyokong agenda keterjaminan makanan.
Kor Ming berkata, pengumuman Belanjawan 2023 jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul supaya negara boleh bergerak maju ke hadapan.
"Pembaharuan dalam Belanjawan 2023 juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya
Beliau berkata, Belanjawan 2023 juga akan dapat menyokong pasukan KPKT untuk terus melaksanakan tujuh bidang fokus utama kementerian merangkumi aspek Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kemampanan Bandar, Pengurusan Sisa Pepejal serta Perkhidmatan Kebombaan dengan lebih cemerlang, demi kesejahteraan rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!