PDRM tumpas sindiket penipuan pelaburan

PDRM
PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Menerusi serbuan di beberapa buah negeri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan pada 21 Februari lalu.

Setiausahanya, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, hasil maklumat, risikan dan pemantauan dilakukan sejak beberapa bulan lalu, PDRM menumpaskan empat sindiket penipuan pelaburan.

"Melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM berjaya menumpaskan sindiket ini setelah membuat serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

"Sindiket ini merupakan dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru sahaja ditubuhkan dengan menawarkan kadar pulangan yang tinggi.

"Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di laman sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, hasil daripada serbuan dijalankan, seramai 29 individu yang terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita warga tempatan ditahan.

Kata beliau, suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun telah direman antara satu hingga empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, antara barang dirampas adalah 75 unit telefon bimbit, satu surat perjanjian pinjaman, dua keping dokumen salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lapan batang anak kunci bersama kad akses.

Selain itu katanya, sebanyak 14 unit komputer riba, satu unit tablet, 73 keping kad ATM, dua unit buku pasport serta lima keping sim kad turut dirampas.

"Sembilan buah kereta turut dirampas, selain tiga utas jam tangan, wang tunai berjumlah RM14,501 serta 64 jenis barangan kemas dan pelbagai barangan lain," katanya.

Beliau berkata, PDRM menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat adalah kecil memandangkan skim pelaburan tersebut masih baharu diwujudkan.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

"PDRM juga ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim-skim yang meragukan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!