Liga Super: NSFC idam keputusan positif lawan SPFC
PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), K.Devan mengharapkan keputusan positif dengan sekurang-kurangnya seri pada perlawanan pertama Liga Super menentang Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Meskipun dilihat agak sukar berikutan prestasi baik SPFC, beliau yakin anak buahnya mampu menampilkan persembahan cemerlang selain kelebihan bermain di laman sendiri dan sokongan padu penyokong.
"Menjadi harapan pasukan untuk raih tiga mata pada perlawanan esok tapi kita (NSFC) kena berdepan realiti bahawa persiapan SPFC lebih baik, mereka ke Thailand untuk perlawanan persahabatan, ada pemain berkualiti dan kuota pemain import lebih baik.
"Saya tak nafikan kita ada kekurangan dari segi persiapan tapi pastinya kita akan usaha lebih untuk dapat tiga mata, bagaimanapun kalau dapat seri dalam perlawanan pertama ia bonus untuk NSFC,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad Jang di sini.
Devan berkata, NSFC turut memerlukan lebih masa untuk mencapai keserasian dan memahami taktikal pasukan yang dibarisi beberapa muka baharu terutama pemain importnya seperti pertahanan dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin dan pemain tengah Levy Clemen Madinda dari Gabon.
Dalam pada itu, beliau berkata, Muhammad Safuwan yang sebelum ini dibelenggu kecederaan kini bersedia beraksi selain telah mengharungi dua perlawanan persahabatan.
"Kita sudah melihat laporan perubatannya dari pasukan Selangor, doktor juga mencadangkan beliau dipanggil untuk latihan dan perlawanan persahabatan, prestasinya baik sebab itu kita tetapkan dia sebagai pemain import,” katanya.
Tahun lepas, Selangor terpaksa melupakan khidmat Muhammad Safuwan berikutan beliau mengalami mild traumatic brain injury dan diberi rehat yang panjang.
Sementara itu, Devan berkata, masih terlalu awal untuknya menetapkan sasaran kedudukan NSFC pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini kerana perlu menilai keupayaan dan kekuatan sebenar setiap pemainnya.
"Saya tidak tahu kekuatan mereka mungkin susah untuk meletakkan sasaran, mungkin selepas melalui tiga atau empat perlawanan (boleh sasar) selain melihat kualiti pemain, selepas itu baru boleh ramal pencapaian kita tahun ini,” katanya dan menambah sudah ada kesebelasan utama bagi perlawanan esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!