Bakal pengantin cari bapa kandung jadi wali nikah
BESUT - Seorang wanita berharap dapat menemui bapa kandungnya untuk menjadi wali pada majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.
Nur Afifah Hanim Mohd Zaki, 23, berkata, sebelum ini dia pernah menjejaki lelaki tersebut melalui alamat yang tertera pada kad pengenalan yang disimpan namun menemui jalan buntu kerana lokasi berkenaan sudah tiada.
"Saya telah cuba cari bapa saya mengikut alamat pada MyKad, malangnya kawasan itu sudah tiada rumah dan sudah dibangunkan kilang.
"Saya juga cuba menjejaki keluarga sebelah bapa saya namun masih menemui jalan buntu kerana mereka semua tidak dapat dihubungi," katanya.
Menurut Nur Afifah, berdasarkan cerita ibunya, dia dan bapanya, Mohd Zaki Hashim, 51, telah terpisah ketika dia berusia dua bulan.
"Kami terpisah selepas mak melahirkan saya. Ayah bertindak keluar dari rumah dan terus tidak pulang.
"Sejak itu hubungan kami terputus malah dia langsung tidak bertanyakan khabar," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Faizul Abdullah Sani, 26.
Nur Afifah yang tinggal di Kampung Kayu Kelat, Jalan Telaga Nibong, Jertih, di sini berkata, mana-mana individu yang mengenali bapanya diminta menghubunginya di talian 011-17885224.
"Sekiranya bapa saya terbaca berita ini atau mereka yang mengenalinya boleh segera menghubungi saya.
"Besar harapan saya agar dapat bertemu dengannya setelah kami terpisah sejak 23 tahun lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!