KPDN agih 18,000 Bakul Rahmah menjelang Ramadan

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengagihkan sebanyak 18,000 Bakul Rahmah dengan nilai RM100 sebakul kepada golongan sasar menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, agihan berkenaan akan diberikan kepada golongan miskin tegar yang benar-benar memerlukannya.

"Untuk peringkat pertama di bawah program Payung Rahmah ini, kita sasarkan kita boleh berikan separuh dengan sasaran 30 peratus (37,000) daripada jumlah 130,000 isi rumah miskin tegar akan dapat kita bantu menjelang raya nanti.

"Daripada jumlah 37,000 itu bakal menyaksikan sebanyak 18,000 Bakul Rahmah bakal diedarkan ke seluruh negara khususnya terhadap golongan miskin tegar tersebut.

"(Mereka) bukan B40, tapi lebih bawah daripada itu. Golongan yang betul-betul miskin tegar, sakit kronik, suami isteri yang terpaksa berhenti kerja jaga anak yang sakit, jaga anak yatim dan kita cuba santuni mereka bermula Ramadan dan menjelang raya," katanya.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media sempena program Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah 'Back To School' 2023 Peringkat Negeri Johor di Dewan Raya Taman Bukit Indah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya juga akan mengumumkan pakej-pakej Pakaian Raya Rahmah untuk ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, sesi libat urus juga telah diadakan dengan pihak industri tekstil berhubung perkara berkenaan.

"Di bawah inisiatif Payung Rahmah ini, kerajaan sudah umumkan peruntukan sebanyak RM100 juta...sebab sekarang dah nak masuk bulan tiga, bajet seterusnya bulan 10, kita ada lebih kurang lapan bulan sahaja lagi. Jadi kita kena cepat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!